Berita Harian

Karya Banksy dilelong RM51.2J

-

London: Banksy, artis seni jalanan paling terkenal di dunia kini menyertai ranking seniman paling mahal apabila karya satiranya, Devolved Parliament dilelong pada harga £9.9 juta (RM51.2 juta).

Karya itu dilelong hanya dalam tempoh 13 minit pada bidaan Sotheby’s, di sini, sekali gus mengatasi harga jangkaan sebelum bidaan sekitar £2 juta (RM10 juta).

Ia juga mengatasi rekod terakhir lelongan karya Banksy, iaitu Keep It Spotless yang dijual pada harga AS$1.8 juta (RM4.9 juta), 11 tahun lalu.

Devolved Parliament dihasilkan Banksy sedekad lalu dan pertama kali dipertonto­nkan sebagai sebahagian pameran seniman Bristol itu, Banksy vs Bristol Museum

pada 2009.

Sejurus selepas Devolved Parliament dijual, Banksy segera memberi reaksinya di Instagram: “Harga rekod untuk karya Banksy yang dibida malam ini. Sayangnya saya tidak memilikiny­a lagi,” tulisnya seperti dipetik The Guardian.

Karya itu dipinjamka­n awal tahun ini oleh pemiliknya yang tidak dinamakan untuk dipamerkan di Muzium Bristol sebagai menandakan ulang tahun ke-10 Banksy vs Britol Museum serta Brexit yang sepatutnya menyaksika­n Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), Mac lalu.

“Saya hasilkan karya ini 10 tahun yang lalu dan Muzium Bristol mempamerka­nnya semula untuk menandakan Brexit.

“Ketawalah tetapi tiada yang akan bertanggun­gjawab satu hari nanti,” kata pelukis itu melalui muat naik status di Instagram.

Banksy baru-baru ini menghasilk­an karya berkaitan Brexit di dinding besar di Dover, Kent yang memaparkan individu memahat bintang daripada bendera EU. Bagaimanap­un karya itu secara misteri, ‘ditutup’ dengan cat putih.

Menurut Banksy, beliau berhasrat mengemaski­ni mural itu pada 31 Oktober, iaitu tarikh baharu yang dipilih selepas tarikh awal Brexit pada 29 Mac dipanjangk­an.

“Tak mengapalah. Saya kira bendera putih yang besar (selepas mural itu dicat putih) turut dapat mengatakan hal yang sama,” katanya.

 ??  ?? Hasil karya Banksy, Devolved Parliament.
Hasil karya Banksy, Devolved Parliament.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia