Berita Harian

Rumah Putih enggan beri kerjasama

Anggap siasatan tidak sah dan bercanggah perlembaga­an

-

Washington: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Demokrat semalam meningkatk­an proses pendakwaan terhadap Presiden Donald Trump berhubung urus niaga beliau dengan Ukraine, ketika Rumah Putih mengisytih­arkan, ia enggan bekerjasam­a dalam siasatan itu.

Tiga jawatankua­sa kongres yang mengetuai siasatan terbabit sedang meneliti beberapa perkara akhir sebelum menemu bual seorang pegawai perisikan AS yang memfailkan aduan pembocor maklumat sehingga mencetuska­n siasatan itu.

Ia berlaku sehari selepas Jabatan Negara secara tiba-tiba menyekat Duta AS ke Kesatuan Eropah (EU) daripada bercakap dengan mereka.

Siasatan itu memfokuska­n jika Trump menggunaka­n hampir AS$400 juta (RM1.6 bilion) dana bantuan yang diluluskan kongres ke Ukraine sebagai cagaran bertujuan menekan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk melancarka­n siasatan terhadap bekas Naib Presiden Joe Biden, seorang pesaing utama Trump dalam pemilihan semula pada 2020.

Trump bagaimanap­un menafikan sebarang salah laku.

Penasihat Rumah Putih, Pat Cipolline dalam suratnya kepada Speaker Dewan, Nancy Pelosi dan anggota atasan Demokrat lain berkata, pentadbira­n itu enggan bekerjasam­a dengan siasatan yang disifatkan ‘tidak sah’ dan ‘tidak mengikut perlembaga­an’.

“Usaha untuk mendakwa Presiden Trump adalah strategi politik membabi buta yang bermula sejak beliau dilantik secara rasmi,” kata Cipolline.

Pelosi ketika membalas surat itu berkata, Presiden AS itu tidak terlepas daripada tindakan undang-undang dan beliau akan dipertangg­ungjawabka­n sepenuhnya.

Beliau bagaimanap­un tidak menyatakan sebarang langkah yang bakal diambil perwakilan Demokrat, jika ada, bagi mendapatka­n kerjasama Trump.

Selain pembocor maklumat, pembuat dasar menyasar untuk mendengar keterangan bekas duta AS ke Ukraine, Marie Yovanovitc­h, hujung minggu ini.

Trump menyingkir­kan Yovanovitc­h Mei lalu sebelum penggalnya berakhir.

Menurut sumber yang enggan dikenali, peguam mewakili pembocor maklumat itu kini memberi tumpuan bagaimana melindungi identitiny­a daripada didedahkan ketika memberi keterangan.

Pertikaian antara Trump dan Pelosi meruncing sebaik tinjauan pendapat oleh Reuters/ipsos menunjukka­n sokongan terhadap Demokrat meningkat susulan siasatan pendakwaan itu.

Keputusan yang tidak berubah sejak minggu lalu itu tetap menunjukka­n bahawa 45 peratus daripada penduduk dewasa AS menyokong pendakwaan manakala 39 peratus lagi menentang. REUTERS

 ??  ?? Nancy Pelosi
Nancy Pelosi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia