Berita Harian

KBS minta dana khas sukan RM100J

Laksana program bersifat serampang dua mata rungkai masalah sosial

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim luqman.arif@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) mengusulka­n supaya dana khas berjumlah RM100 juta disediakan dalam Belanjawan 2020 bagi membina lebih banyak kemudahan sukan di luar bandar.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata dana itu bukan hanya untuk tujuan sukan semata-mata, sebaliknya menjadi serampang dua mata bagi merungkai masalah sosial.

Katanya, acuan sama turut digunakan di Ireland dan Iceland sehingga menyaksika­n negara terbabit berupaya menyelesai­kan rangkaian masalah sosial seperti gejala ponteng sekolah dan ketagihan alkohol dalam kalangan golongan muda.

“Pentadbira­n negara-negara ini pecahkan kawasan mengikut kadar masalah sosial supaya tumpuan dapat diberikan kepada zon yang paling serius dan setiap pelaksanaa­n berupaya melakar kejayaan paling optimum. Bila mereka teliti semula keadaan di kawasan terbabit selepas tempoh lima hingga 10 tahun, banyak perubahan positif diwujudkan, sekali gus menyaksika­n penurunan gejala sosial yang begitu ketara.

“Oleh itu, kaedah sama boleh dilaksanak­an di Malaysia kerana sukan mempunyai ‘magis’ tersendiri,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama NSTP, di sini, kelmarin.

Mengulas mekanisme pelaksanaa­n, Syed Saddiq berkata, kadar agihan peruntukan dana khas terbabit wajar bersandark­an pola masalah sosial mengikut kawasan di luar bandar bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan sedia ada terhadap corak pengagihan dan keutamaan dalam penyaluran dana pembanguna­n kemudahan sukan harus disusun semula.

“Kita tidak fokus pada kemudahan sukan yang memerlukan kos puluhan juta ringgit tapi lebih kepada sukan dengan jumlah peruntukan rendah. Oleh itu, sebaiknya beri keutamaan kepada pembanguna­n infra yang berupaya memberi impak tinggi di luar bandar,” katanya.

Syed Saddiq berkata, dana khas bagi wanita untuk bergiat dalam sukan turut dicadangka­n kerana keadaan semasa menyaksika­n wujud perbezaan ibarat ‘langit dan bumi’ terhadap peruntukan kepada atlet lelaki dan perempuan.

Selain itu, katanya, peruntukan berasingan harus disediakan bagi menampung kos penyelengg­araan kemudahan sukan supaya ia tidak terbiar dan akhirnya menjadi projek ‘gajah putih’.

“Saya melakukan lawatan dari negeri ke negeri bagi meninjau keadaan semasa dan mendapati banyak kemudahan sukan sudah usang. Justeru orang tidak lagi datang bagi menggunaka­nnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia