Berita Harian

PETRONAS diberi kata dua

Syarikat diminta sama ada patuhi pembayaran cukai lima peratus atau tambah pemilikan ekuiti

- Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad amifaiz@bh.com.my

Kuching: PETRONAS diberi kata dua supaya mematuhi pembayaran cukai lima peratus produk petroleum atau menambah pemilikan ekuiti Sarawak dalam sektor gas dan minyak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata pendapatan hasil eksport gas asli cecair (L&G) yang diperoleh dari Sarawak setiap tahun dianggarka­n sekitar RM40 bilion setahun.

“Hasil gas berkenaan diperoleh dari perairan Sarawak dan PETRONAS perlu mematuhi undang-undang seperti mana syarikat itu beroperasi di Kanada. Kami berhak mengenakan cukai jualan itu kerana sejajar dengan peruntukan undang-undang.

“Bagaimanap­un, sekiranya PETRONAS enggan membayar, mereka perlu menggantik­an nilai cukai itu menerusi pemberian ekuiti bagi tujuan komersial yang sama dengan nilai cukai dikenakan. Kita masih berunding dengan PETRONAS berkenaan hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog selepas menghadiri ‘Business Engagement Session with Chief Minister: Journey to 2030’, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata walaupun Sarawak menjadi penyumbang ketiga terbesar bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, ia tidak menggambar­kan keadaan sebenar pendapatan rakyat di negeri ini.

“Sebahagian besar daripada sumbangan Sarawak dalam KDNK negara banyak dilabur di Kuala Lumpur, inilah dilema yang kita berdepan sehingga ke hari ini. Pembinaan prasarana bukan kerja mudah kerana ia memerlukan perbelanja­an yang cukup besar,” katanya.

Bagi mencapai status negeri berpendapa­tan tinggi menjelang 2030, Sarawak perlu menambah pendapatan perkapita sebanyak RM5,000 sebulan, berbanding RM2,000 ketika ini.

Mengulas mengenai kekurangan tenaga kerja dalam sektor kelapa sawit di Sarawak, kerajaan negeri akan mengadakan dialog berasingan bagi menyelesai­kan permasalah­an itu.

“Pengambila­n pekerja asing terutama dari Myanmar perlu ditelusi kerana kita tidak mahu timbul masalah pada kemudian hari. Bagi pengambila­n pekerja dari Bangladesh, kita perlu menilai kesan kedatangan mereka terhadap struktur sosial tempatan,” katanya.

Difahamkan, seramai 60,000 tenaga kerja dalam sektor kelapa sawit diperlukan di negeri ini selepas banyak pekerja asing Indonesia pulang untuk berkhidmat di negara asal dalam sektor sama.

 ??  ?? Abang Johari Abang Openg
Abang Johari Abang Openg

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia