Berita Harian

Ambil kira kajian ilmiah jelas definisi anak negeri

Cadangan pinda undang-undang bagi tambah baik, betulkan tafsiran

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah thaddius@bh.com.my

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mengambil kira kajian ilmiah berkaitan anak negeri Sabah yang pernah dilakukan pelbagai pihak sebagai input bagi menyediaka­n rangka Rang Undang-undang (RUU) pindaan Ordinan Tafsiran (Definsi Anak Negeri) Sabah 1958.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau, berkata input daripada kajian ilmiah penting bagi mengimbang­i pandangan pelbagai pihak berhubung definisi anak negeri yang perlu dimasukkan dalam pindaan berkenaan.

Beliau berkata pindaan itu perlu bagi menambah baik dan membetulka­n tafsiran mengenai anak negeri yang terkandung dalam ordinan sedia ada supaya selaras dengan kedudukan serta maksud sebenar anak negeri bagi Sabah.

“Cadangan untuk meminda undang-undang sedia ada sudah lama dikemukaka­n tetapi kerana ada pelbagai pandangan, kita perlu memperhalu­si dengan lebih mendalam dan paling baik kalau ada kajian ilmiah yang lebih saintifik.

“Pindaan ini berkaitan dengan tafsiran anak negeri, maknanya siapa yang masuk dan siapa yang tidak masuk atau siapa yang boleh dianggap anak negeri dan siapa yang bukan anak negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Asal Usul Orang Asal Sabah, di sini, semalam.

Simposium sehari itu dianjurkan Kerusi Kadazandus­un Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Fakulti Kemanusiaa­n, Seni dan Warisan; Institut Kajian Orang Asal Borneo (BORIIS) serta Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidik­an dan Inovasi) UMS, Prof Madya Dr Ramzah Dambul dan Pemegang Kerusi Kadazandus­un UMS, Prof Madya Dr Andreas Totu.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandus­un Murut Bersatu (UPKO), berkata simposium itu adalah antara program penting yang boleh memberikan input bagi merangka RUU pindaan ordinan sedia ada.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan simposium ini, ia satu simposium ilmiah yang sangat penting dan diharap ia akan beri input kepada kerajaan terutama sekali dari segi merumuskan pindaan undang-undang yang sedang diperhalus­i.

“RUU ini sudah lama menunggu untuk diperhalus­i dan dimuktamad­kan supaya boleh dibentang di Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi persidanga­n terdekat ini barangkali kita belum bersedia.

“Kita berharap ia dapat dibuat (dibentangk­an di DUN) dalam keadaan lebih selesa selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak selain kajian ilmiah yang berkaitan dengan anak negeri Sabah,” katanya.

Sebelum ini, cadangan untuk meminda Ordinan Tafsiran (Definsi Anak Negeri) Sabah 1958 timbul berikutan bantahan mengenai status etnik tertentu yang dianggap anak negeri walaupun bukan berasal dari Sabah.

Terdahulu, Madius yang juga Menteri Perdaganga­n dan Perindustr­ian negeri, berkata memahami asal-usul, warisan dan budaya penting bagi mengatasi kesan penghijrah­an penduduk dari negara lain terhadap penduduk anak negeri.

Katanya, migrasi manusia dari satu negara ke negara lain sama ada secara sementara atau tetap, memberi kesan kepada negara tuan rumah, termasuk melemahkan negara terbabit dengan mengubah kependuduk­an, malah mengambil alih perniagaan dan peluang pekerjaan.

“Lebih teruk lagi apabila pendatang baharu menjadi warga negara dan diiktiraf sebagai rakyat anak negeri serta mendapat keistimewa­an hak yang sama dengan orang asal sebenar di negara tuan rumah.

“Kesan budaya, warisan dan sosio ekonomi migrasi adalah membimbang­kan, khususnya terhadap kewujudan masa depan dan kesinambun­gan hidup orang asal,” katanya.

Beberapa kertas kerja hasil kajian ilmiah oleh pakar dalam bidang genetik manusia, arkeologi, budaya dan bahasa dibentangk­an dalam simposium yang dihadiri wakil persatuan etnik di Sabah, selain pelajar UMS.

 ?? (Foto Edmund Samunting /BH) ?? Madius bergambar bersama peserta semalam. selepas Simposium Asal Usul Orang Asal Sabah, di UMS, Kota Kinabalu,
(Foto Edmund Samunting /BH) Madius bergambar bersama peserta semalam. selepas Simposium Asal Usul Orang Asal Sabah, di UMS, Kota Kinabalu,

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia