Berita Harian

‘Permintaan bawa balik Jho Low tak dilayan’

Abdul Hamid kecewa pihak terbabit ‘mainkan’ PDRM

- Oleh Faris Fuad dan Humaira Azizan bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kecewa dengan pihak tertentu kerana permintaan membawa balik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini tidak dilayan, walaupun sudah memberi kerjasama terbaik berhubung aspek kepolisan dalam isu berkenaan kepada pihak berkaitan.

Malah pihak berkenaan seolah-olah ‘mempermain­kan’ permintaan PDRM, apabila memberikan alasan seperti kemungkina­n Jho Lo membuat pembedahan plastik atau lari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau Cyprus.

“Tahap kesabaran saya masih ada walaupun polis sudah memberi kerjasama terbaik, termasuk dalam hal kepolisan kepada negara berkenaan.

“Saya amat kecewa apabila permintaan saya pula tidak dilayan dan (mereka) memberi alasan seperti saya sebutkan sebelum ini, mungkin (Jho Low) buat pembedahan plastik selain pergi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Cyprus,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Bagi Abdul Hamid, alasan itu tidak munasabah kerana mengikut maklumat polis, Jho Low berada di negara persembuny­iannya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurn­akan Majlis Pelancaran Buku Manual Siasatan dan Buku Arahan Penyiasata­n Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam.

Ditanya sama ada lokasi persembuny­ian Jho Low di negara terpencil, Abdul Hamid berkata: “Lebih kurang begitu.”

Mengenai tindakan pihak berkuasa Cyprus mahu membatalka­n pasport yang diberikan kepada Jho Low, Abdul Hamid berkata, tindakan itu perlu selepas Notis Merah dikeluarka­n oleh Polis Antarabang­sa (INTERPOL) bagi mengesan ahli perniagaan itu.

“Saya tidak berkomunik­asi secara langsung dengan pihak Cyprus, tindakan itu (batal pasport Jho Low) mungkin diambil sebagai negara berdaulat.

“Notis Merah INTERPOL juga sudah dikeluarka­n, negara itu (persembuny­ian Jho Low) perlu akur (dalam hal ini),” katanya.

Abdul Hamid turut mengesahka­n Jho Low tidak menjadikan Cyprus lokasi persembuny­ian.

“Cyprus bukan negara persembuny­iannya, mustahil dia boleh keluar dari negara persembuny­iannya. Dia masih bersembuny­i seperti ayam,” katanya.

Mengenai cadangan Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin, sudah tiba masa pendekatan ala Mossad digunakan untuk menangkap Jho Low, Abdul Hamid berkata, ia timbul kerana ada pihak menganggap usaha pihak berkuasa belum mencukupi.

“Pihak itu juga mungkin tidak mengambil kira ada kaedah lain tangkap ahli perniagaan terbabit.

“Ketika ini, polis menggunaka­n pelbagai kaedah secara rasmi dan tidak rasmi, termasuk berunding dengan pihak dan wakil pihak berkuasa negara berkaitan.

“Saya tidak berputus asa dan terus memberi alasan kepada pihak berkenaan membantu polis mengesan Jho Low, kerana ia membabitka­n kes jenayah, bukan isu ekonomi, strategik dan politik negara,” katanya.

 ??  ?? Keratan akhbar BH kelmarin.
Keratan akhbar BH kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia