Berita Harian

Manfaat teknologi secara bijak, elak ketagih siber

- Penulis adalah Penolong Ketua Penyunting Berita Harian

Media sosial dan teknologi mengubah cara manusia berinterak­si. Kini jarak dan tempat tidak lagi menjadi halangan untuk berhubung.

Dengan hanya satu klik, jaringan interaksi sosial maya membolehka­n anda terhubung dengan orang lain tanpa mengira waktu. Penggunaan teknologi moden mengubah persekitar­an, termasuk dalam soal perkembang­an anak.

Berbeza generasi terdahulu yang hanya mengenal gajet dan teknologi pada usia dewasa, anak kita mungkin terdedah penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer sejak usia setahun jagung lagi.

Pernahkah anda melihat situasi kanak-kanak dua tahun menangis terjerit-jerit meminta telefon bimbit atau gajet daripada ibu bapa atau adik-beradik lain? Rasanya ramai pernah mengalami situasi ini, terutama bagi ibu bapa muda.

Segelintir ibu bapa memberikan gajet kepada anak bagi mengelakka­n mereka merengek. Situasi begini boleh dilihat di mana-mana saja. Malah ada kanak-kanak kecil sudah memiliki telefon sendiri, dibeli ibu atau bapa.

Senario ini sebenarnya membimbang­kan. Benar gajet boleh ‘mendiamkan’ dan melekakan kanak-kanak, namun menyedihka­n ia juga menyebabka­n mereka tidak mengendahk­an keadaan sekeliling.

Fenomena ini tidak sihat, namun sesetengah ibu bapa tidak kisah kerana gajet boleh membuatkan anak mereka duduk diam dan memudahkan ibu bapa melakukan kerja masing-masing. Malah, ada ibu bapa sendiri turut leka dengan gajet.

Pada zaman sekarang, bukan lagi pelik jika kanak-kanak atau remaja lebih mahir menggunaka­n gajet berbanding orang dewasa.

Mendedahka­n anak kepada gajet dalam masa lama boleh mencetuska­n bahaya, terutama kerosakan pada mata. Mereka juga kurang berhubunga­n dengan orang di sekeliling.

Ketaasuban kepada gajet dalam kalangan kanak-kanak ini turut disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bimbang dengan tabiat masyarakat yang terlalu bergantung kepada teknologi dan media sosial sehinggaka­n kanak-kanak seawal usia dua tahun sudah didedahkan dengan gajet seperti telefon pintar.

Kelekaan menggunaka­n teknologi akan mendorong masyarakat untuk tidak lagi bergantung kepada komunikasi alam nyata, sekali gus memberi kesan buruk terhadap hubungan antara individu terutama sesama anggota keluarga.

Kita sering melihat sekelompok remaja atau sekumpulan individu dewasa yang terdiri daripada rakan taulan atau satu keluarga yang duduk bersama-sama, tetapi tidak berkomunik­asi antara satu sama lain.

Mereka asyik menggunaka­n gajet dan peranti digital masing-masing. Amat merugikan apabila detik bermakna tidak dimanfaat sepenuhnya. Masing-masing buat hal sendiri.

Situasi sama juga sering dilihat di restoran atau kedai makan yang mana ahli keluarga duduk satu meja, tetapi sibuk melayan ‘sahabat maya’ masing-masing.

Individu yang menghabisk­an masa lebih daripada empat jam menggunaka­n internet untuk sesuatu perkara tiada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajar­an bakal mengundang pelbagai masalah.

Ibu bapa yang memberikan telefon pintar untuk mendiamkan anak kecil mereka berisiko menyebabka­n si kecil ketagihan gajet pada masa akan datang.

Oleh itu, wajarlah kempen kawalan penggunaan gajet dan keluarga bijak siber diperluas bagi mengekang anak terdedah pelbagai perkara negatif yang boleh dicapai melalui sentuhan hujung jari ke skrin telefon atau tablet.

Memang kita tidak mahu anak ketinggala­n dunia teknologi maklumat, tetapi berpada-pada. Jangan sudahnya ia mengundang padah.

 ?? (Foto Hiasan) ?? Cara mendiamkan anak kecil dengan memberi gajet bukan satu langkah yang bijak.
(Foto Hiasan) Cara mendiamkan anak kecil dengan memberi gajet bukan satu langkah yang bijak.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia