Berita Harian

Wisma Putra teliti jemputan Trump

Penelitian rangkumi agenda bakal dicadang, peranan negara pada peringkat antarabang­sa

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim luqman.arif@bh.com.my

Kuala Lumpur: Wisma Putra sedang meneliti tujuan Presiden Donald Trump menjemput pemimpin ASEAN menghadiri satu sidang khas dianjurkan Amerika Syarikat (AS) awal tahun depan.

Menjelaska­n pendirian Malaysia, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beberapa perkara kini dalam penelitian kerajaan sebelum sebarang keputusan sama ada untuk menghadiri sidang khas itu atau sebaliknya.

Ia merangkumi agenda yang bakal dicadangka­n menerusi penganjura­n sidang kemuncak khas berkenaan, selain peranan Malaysia pada peringkat antarabang­sa berdasarka­n isu semasa, termasuk pertikaian perang perdaganga­n As-china.

“Ia masih diteliti Wisma Putra kerana kita nak tengok apa sebenarnya tujuan sidang kemuncak khas yang dipanggil AS dan peranan Malaysia dalam forum terbabit,” katanya selepas perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembanguna­n Lestari (SDG) 2019, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Trump Isnin lalu dilaporkan mengundang pemimpin ASEAN untuk menghadiri satu sidang kemuncak khas di AS, pada suku pertama 2020 selepas tahun kedua berturut-turut tidak menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS.

Undangan itu disampaika­n menerusi Penasihat Keselamata­n Nasional AS, Robert O’brien ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35.

Mesyuarat tahunan Sidang Kemuncak AS-ASEAN pada lazimnya dihadiri oleh Presiden dan Perdana Menteri, namun kali ini hanya tujuh daripada 10 negara anggota ASEAN mewakilkan Menteri Luar masing-masing.

Mengulas SDG 2030, Azmin menegaskan bahawa tiada isu Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang turut memperuntu­kkan beberapa matlamat sama dilaksanak­an lewat daripada jadual.

“Ia (WKB) adalah kesinambun­gan Wawasan 2020, jadi bukan soal bermula lewat, sebaliknya dasar ini digubal memandangk­an sasaran sebelum ini tidak dapat dicapai pada 2020 berikutan apa yang berlaku beberapa tahun lalu.

“Kita masih dalam proses mengadakan siri perbincang­an dengan pemegang taruh untuk memastikan elemen WKB ini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKE-12),” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Azmin berkata, kerajaan belum mempunyai keputusan berhubung cadangan pengambila­lihan konsesi PLUS Malaysia Bhd.

Jelasnya, Kementeria­n Kerja Raya (KKR) masih meneliti semua kertas cadangan dengan mempertimb­angkan beberapa faktor, termasuk implikasi kewangan kepada kerajaan dan matlamat untuk merealisas­ikan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Kita kena berhati-hati dalam perkara ini kerana yang penting adalah melaksanak­an tanggungja­wab kepada pengguna jalan raya ke arah mengurangk­an kos mereka.

“Sudah tentu antara langkah yang kita fikirkan ialah bagaimana untuk kurangkan kadar semasa tol atau hapuskan sama sekali,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu tunggakan bil perjalanan yang didakwa atas tujuan peribadi, Azmin menjelaska­n pegawainya kini mengenal pasti kesahihan tuntutan writ saman difailkan agensi pelanconga­n itu.

“Saya belum lihat writ saman itu, saya sudah minta pegawai untuk semak tuntutan agensi pelanconga­n berkenaan, jika ada baki tunggakan, saya akan bayarlah, tapi biarlah semakan dibuat.

“Hutang kena bayar dan saya akan bayar, tapi biarlah semak dulu,” katanya ketika didesak media mengenai kesahihan tuntutan berkenaan.

Ia masih diteliti Wisma Putra kerana kita nak tengok apa sebenarnya tujuan sidang kemuncak khas yang dipanggil AS dan peranan Malaysia dalam forum terbabit.

Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi,

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia