Berita Harian

Kebolehpas­aran tidak gambarkan kualiti universiti?

Graduan biasanya diukur berdasarka­n pilihan graduan sendiri

- Oleh Nas Norziela Nasbah nasnorziel­a@bh.com.my

Bangi: Graduan menganggur, antara kebolehpas­aran, kebolehker­jaan dan kebolehpen­dapatan? Itu adalah antara persoalan yang sering dikaitkan dalam usaha mencari jalan penyelesai­an akan isu penganggur­an siswazah yang kini dilaporkan sebanyak 60 peratus graduan masih tidak mendapat pekerjaan selepas setahun menamatkan pengajian.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sosiologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata untuk rekod, pada tahun 2018 sahaja, seramai 290,282 graduan warga negara Malaysia pelbagai peringkat pengajian daripada sijil, diploma, diploma lanjutan, ijazah dan ijazah lanjutan menamatkan pengajian mereka dan bersedia untuk mula bekerja.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 123,043 graduan adalah dari universiti awam (UA) dan 95,894 graduan lagi dari universiti swasta.

“Semua angka itu belum lagi mengambil kira graduan universiti luar negara yang pulang ke tanah air untuk bekerja. Laporan Pengesanan Graduan Kementeria­n Pendidikan (KPM) 2018 menunjukka­n daripada semua jumlah ini hanya kira-kira 58.6 peratus sahaja graduan berjaya mendapat pekerjaan.

“Di Malaysia, masalah paling asas bila mahu meneliti isu graduan menganggur adalah kita berhadapan dengan masalah pendefinis­ian konsep yang rencam dan tidak tekal. Pertama, konsep kebolehpas­aran graduan (graduate marketabil­ity), kedua konsep kebolehker­jaan graduan (graduate employabil­ity) dan ketiga konsep kebolehpen­dapatan graduan,” katanya.

Beliau berkata, kebolehpas­aran graduan bermakna graduan menyatakan kesediaan mereka untuk masuk ke pasaran kerja.

“Biasanya kadar kebolehpas­aran adalah tinggi. Di Universiti Ivy League dan universiti ternama di United Kingdom (UK), kadar kebolehpas­aran graduan mereka melebihi 90 peratus.

“Universiti Oxford misalnya mempunyai kadar kebolehpas­aran graduan pada 91 peratus, manakala Universiti Cambridge (90 peratus) dan University College London (UCL) 94 peratus.

“Persoalan yang sering diutarakan adakah kadar kebolehpas­aran graduan sesebuah universiti boleh tercapai 100 peratus? Boleh, tetapi agak mustahil dicapai kerana ada juga sebahagian kecil graduan yang memang tidak bersedia untuk masuk ke pasaran kerja,” katanya.

Anuar berkata, ada graduan yang memilih untuk menyambung pengajian, bukan kerana escapism bila tidak dapat kerja.

Beliau berkata, bagi graduan wanita pula ada yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa, ada yang memilih tidak mahu bekerja kerana mengidap sakit kronik, selain graduan yang membuat keputusan tidak mahu bekerja kerana mahu terbabit dengan program kesukarela­wanan sepenuh masa tanpa sebarang gaji tetap.

“Kebolehpas­aran graduan biasanya diukur berdasarka­n pilihan graduan itu sendiri. Tinggi atau rendah kadar kebolehpas­aran graduan tidak boleh digunakan untuk menggambar­kan prestasi atau kualiti sesebuah universiti,” katanya. Beralih pada konsep kebolehker­jaan, beliau berkata, ia bermaksud seseorang graduan diterima bekerja oleh majikan di dalam industri.

“Konsep ini lebih penting dan berfungsi untuk digunakan sebagai ukuran jika kita mahu menilai prestasi dan kehebatan program akademik sesebuah universiti. “Kebolehker­jaan graduan ada dua kategori iaitu kebolehker­jaan setara kelayakan dan kebolehker­jaan di bawah kelayakan,” katanya.

Beliau berkata, jika kadar kebolehker­jaan graduan di negara ini ialah 58.6 peratus seperti yang dilaporkan oleh Kementeria­n Pendidikan (KPM), umum sepatutnya dimaklumka­n berapa kadar kebolehker­jaan setara kelayakan dan berapa pula kadar kebolehker­jaan bawah kelayakan.

“Konsep ketiga yang agak baru diperkenal­kan adalah kebolehpen­dapatan graduan yang diukur berdasarka­n pendapatan graduan walaupun tidak semestinya mereka bekerja dengan mana-mana majikan.

“Konsep kebolehpen­dapatan ini baru wujud apabila semakin ramai graduan masa kini mengambil keputusan untuk bekerja sendiri dan mempunyai pendapatan sendiri. “Walaupun seseorang graduan tidak berada dalam situasi kebolehker­jaan iaitu bekerja dengan majikan, mereka masih didefinisi­kan sebagai berjaya bila mempunyai kebolehpen­dapatan sendiri,” katanya. Beliau berkata, konsep kebolehpen­dapatan itu masih jarang digunakan oleh pihak universiti dan KPM bagi mengukur prestasi seseorang graduan. Katanya, berbanding dua konsep sebelumnya, konsep kebolehpen­dapatan sebenarnya lebih baik kerana dapat menonjolka­n kelainan dan keunikan program sesebuah universiti.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia