Berita Harian

Barcelona makin tertekan, Dortmund bangkit

-

Barcelona: Ernesto Valverde mengakui Barcelona tidak berada pada tahap terbaik selepas kekalahan kepada Levante dalam aksi La Liga apabila sekadar seri tanpa jaringan di laman sendiri berdepan Slavia Prague dalam saingan Liga Juara-juara, semalam.

Sepakan Lionel Messi terkena palang pada babak pertama namun itulah peluang terbaik Barca dalam persembaha­n buruk yang memberi risiko skuad kendalian Valverde kembali bergelut untuk layak dalam Kumpulan F.

“Pada hari itu kami tewas berdepan Levante dan kami tahu ini juga bukanlah perlawanan terbaik kami,” kata Valverde.

“Kami tidak meyakinkan sama ada pada Sabtu atau hari ini dan kami tahu ada banyak tekanan terhadap pasukan ketika ini. Kami perlu bangkit.”

Barcelona akan bertemu Dortmund di laman sendiri selepas ini dan berharap akan mara sebelum pertemuan terakhir menentang Inter Milan di San Siro.

Mereka tampak boleh melepasi saingan ke kelompok 16 terakhir namun tumpuan terarah kepada Valverde selepas sekali lagi persembaha­n buruk dalam tempoh tiga hari pasukannya tewas 3-1 di tangan Levante dalam La Liga.

Jika kekalahan itu disebabkan tiga gol dilepaskan dalam tujuh minit, perlawanan semalam kurang dramatik, kawalan bola tidak menjadi di depan penyokong sendiri yang mencetuska­n keadaan muram di Camp Nou.

Sementara itu, Dortmund bangkit daripada ketinggala­n dua gol di laman sendiri berdepan Inter Milan dengan Achraf Hakimi meledak dua gol bagi membantu kemenangan 3-2.

Dortmund ketinggala­n 2-0 selepas babak pertama apabila Lautaro Martinez meletakkan Inter di depan hanya selepas lima minit sebelum Matias Vecino menambah gol kedua sebelum rehat di Signal Iduna Park.

Bagaimanap­un pertahanan kanan, Hakimi merencana kebangkita­n pasukan dengan menamatkan gerakan lima minit selepas babak kedua dan Julian Brandt menyamakan kedudukan.

Hakimi kemudian meledak gol kemenangan buat Dortmund tatkala perlawanan berbaki 13 minit permainan.

AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia