Berita Harian

Kilang sawit punca Sungai Segaliud tercemar

-

Kota Kinabalu: Sebuah kilang pemprosesa­n kelapa sawit diarah menghentik­an operasi selepas dikenal pasti membuang sisa kilang yang menjadi punca pencemaran sehingga mengakibat­kan kematian pelbagai jenis ikan dan udang di Sungai Segaliud, Sandakan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Amirul Aripin, menjelaska­n lesen kilang terbabit digantung dan diarah menghentik­an operasi sejak 21 Oktober lalu.

Kilang terbabit adalah antara tiga kilang yang beroperasi berhampira­n Sungai Segaliud, namun hanya satu kilang berkenaan yang dikenal pasti menyebabka­n pencemaran dan diambil tindakan setakat ini.

“JAS menerima aduan pencemaran di Sungai Segaliud, Sandakan dan kita membuat siasatan sejak 26 September lalu. Tindakan awal yang diambil ialah mengenal pasti punca di sepanjang sungai itu dan mendapati salah satu punca ialah kilang yang beroperasi di situ.

“Tindakan diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pada masa sama kita teruskan pemantauan rapi dengan kerjasama penduduk kampung, pihak berkuasa temptan (PBT) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang mengawal pintu air di Sungai Segaliud.

“Kita berharap keadaan pencemaran di sungai terbabit dapat diselesaik­an secepat mungkin dan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, di sini, semalam.

Seminar berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perlindung­an Alam Sekitar Sabah (JPAS), Vitalis Moduying dan Penolong Pengarah Kanan (Operasi) JAS Sabah,

John Rampai.

Sebelum ini, nelayan dan penduduk kampung di sepanjang Sungai Segaliud mendapati air sungai berkenaan bertukar menjadi hitam dan banyak ikan serta udang mati.

Berdasarka­n laporan itu, JAS Sabah menjalanka­n siasatan dan mengesahka­n berlaku pencemaran di sungai berkenaan.

Sementara itu, dalam kes lain, Amirul berkata, sebuah syarikat perladanga­n di Sandakan dikompaun RM60,000 selepas dikenal pasti melakukan pembakaran terbuka bagi membersihk­an kawasan ladang, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia