Berita Harian

Julaihi, Bian bertikam lidah isu dana

-

Petra Jaya: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak gamat selepas wakil daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertikam lidah dengan wakil Pakatan Harapan (PH), membabitka­n soal peruntukan serta isu pembanguna­n prasarana.

Menteri Muda Infrastruk­tur, Datuk Julaihi Narawi (Gpssebuyau), secara sinis melontarka­n dakwaan kepada wakil PH daripada Sarawak kerana ‘takutkan bos,’ apabila tidak memperjuan­gkan lebih banyak dana disalurkan kepada Sarawak selepas parti berkenaan mengambil alih pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n daripada Barisan Nasional (BN).

“Janganlah ‘takut bos’ untuk memohon peruntukan kepada Sarawak. Segala janji yang dibuat PH perlulah ditunaikan.

“Banyak projek dibatalkan Kerajaan Persekutua­n di negeri ini, selepas ambil alih pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n lebih setahun lalu,” katanya dalam Persidanga­n DUN Sarawak, di sini, semalam.

GPS yang membentuk kerajaan negeri ketika ini adalah komponen parti sama yang keluar daripada BN, sejurus BN kalah pada peringkat Pusat.

GPS membabitka­n Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Tidak tahan dengan sindiran itu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian (PH- Ba’kelalan), bangun menyelar kenyataan berunsur hinaan itu dan membalas tidak ada sebarang unsur ‘takutkan bos’ kerana Kerajaan Persekutua­n perlu menjadi kerajaan bertanggun­gjawab akibat daripada kekangan dana.

“Apa yang BN buat di sini (Sarawak), adalah approved (lulus), approved (lulus), approved (lulus) sahaja.

“Tetapi duit tidak ada. Sebagai Kerajaan (Pusat) bertanggun­gjawab, kita tidak meluluskan projek sekiranya wang tidak mencukupi,” katanya.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata, isu prasarana yang ketinggala­n di negeri ini bukan diwarisi setahun lalu, malah ia berlaku lebih 50 tahun, di mana BN yang kini GPS masih mentadbir Sarawak.

“Kita kena ingat, Sarawak tidak pernah berubah pemerintah­an kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri sepatutnya tidak memandang rendah inisiatif Kerajaan Pusat terutama daripada segi agihan dana yang mendapat perhatian utama Kerajaan Pusat, sambil bersikap diplomasi membantu antara satu sama lain, terutama membabitka­n isu pembanguna­n.

“Kami berbuat sedaya mungkin menguruska­n segala projek dengan kekangan dana. Sebelum ini, BN tidak serius membangunk­an Sarawak.

“Jumlah peruntukan kepada negeri ini bertambah. Janganlah anggap dalam tempoh setahun sahaja semua masalah di negeri ini selesai, sedangkan masalah Sarawak berlaku lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia