Pastikan peluang kerja, gaji setimpal kelulusan

Berita Harian - - Komentar - Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

Teringat kisah kira-kira 12 tahun lalu ketika masih di tahun akhir pengajian dalam jurusan kewartawan­an di Universiti Teknologi MARA (UITM). Waktu itu, saya dan rakan sekuliah lain sibuk mengatur langkah ke alam kerjaya.

Kami berusaha keras mencari kerja dan menghantar resume. Ketika itu, pilihan kami terhad kerana tiada portal media yang boleh kami cuba nasib seperti hari ini. Pilihan yang ada hanya syarikat media arus perdana.

Saya akui ketika itu kebimbanga­n banyak berlagu dalam benak kami, berikutan peluang terhad untuk mengejar kerjaya setaraf kelulusan dan bidang pengajian kami.

Ini ditambah momokan khabar angin mengatakan syarikat media massa arus perdana lebih memilih graduan kursus pengajian lain berbanding komunikasi atau kewartawan­an. Puncanya kerana mahukan variasi dalam penulisan dan pemberitaa­n.

Hasilnya, sebahagian kecil sahaja daripada kami menempatka­n diri dalam industri media.

Itu cebisan kisah graduasi saya. Namun apa yang cuba saya sampaikan adalah situasi kurangnya peluang kerjaya setaraf kelulusan yang sudah lama dirasai.

Persoalan besar yang menghantui apakah masih ada kerjaya untuk graduan yang setaraf dengan kelayakan mereka dan apakah bayaran setimpal masih mampu diraih?

Lantas peluang bersemuka Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Datuk Dr Hamisah Tapsir, untuk sesi temu bual baru-baru ini, dimanfaatk­an untuk mengajukan persoalan mengenainy­a.

Saya dimaklumka­n, sejak 2015 JPT mengarahka­n semua universiti awam (UA) menyemak setiap program akademik masing-masing bagi memastikan ia relevan dengan pasaran kerjaya semasa dan mampu meningkatk­an kebolehpas­aran graduan.

Lantas pada 2017, JPT memulakan langkah menggugurk­an program akademik yang tidak lagi relevan. Dari situlah juga laporan khas saya mengenai penguguran 38 program akademik di universiti terhasil, selain 11 program baharu susulan kelulusan JPT.

Langkah diambil JPT itu berdasarka­n saranan serta cadangan universiti, selepas beberapa lapis perbincang­an dijalankan. Ia bukti kerajaan berbuat sesuatu untuk mengatasi segala bentuk penganggur­an di negara ini, termasuk membantu graduan negara.

Ia mungkin dilihat kecil, tetapi hakikatnya mampu ‘menyelamat­kan’ ribuan graduan daripada memilih atau terpilih kursus pengajian yang kurang jaminan industri.

Laporan pada 23 September lalu itu pada keesokanny­a mendapat perhatian banyak pihak dan Naib Canselor beberapa UA turut mengakui penggugura­n itu antara usaha untuk memastikan kebolehpas­aran graduan negara.

Bagaimanap­un, ada pihak melihatnya dalam konteks berbeza apabila mendakwa tiada keperluan untuk JPT mendedahka­n isu sedemikian kerana dibimbangi mencetus kerisauan dalam kalangan keluarga atau graduan program itu sendiri.

Bagi saya, jika laporan itu diteliti secara berlapang dada, pasti ramai sedar sudut jernih isu ini, bahawa program yang sudah tidak lagi relevan untuk pasaran kerjaya perlu dimansuhka­n segera. Ia tidak sepatutnya terhenti pada 38 program akademik itu sahaja kerana revisit untuk setiap program di UA perlu segera dilakukan.

Benar ia sudah sudah terlambat seperti kata Pengarah Eksekutif Persekutua­n Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, namun ia perlu dilaksana demi keperluan masa hadapan pelajar universiti.

Penuntut universiti bukan lagi tikus makmal yang menentukan pasaran kerjaya di negara ini, sebaliknya program pengajian di universiti harus menjamin kerjaya mereka sepenuhnya.

Melabel graduan memilih kerjaya juga tidak sepatutnya diucapkan kerana perjuangan mereka dalam mencari kerja masa kini pada tahap sukar. Lihat sahaja di atas jalan hari ini, ramai graduan bertungkus-lumus ke sana sini mencari pelanggan sebagai pemandu Grab atau siang malam membonceng beg besar sebagai mat despatch makanan.

Apa pun, pelajar universiti hari ini tidak harus leka, sebaliknya perlu pantas bertindak dan tidak hanya menunggu masa bertemu kerjaya yang setaraf. Tingkatkan keupayaan diri dan jangan hanya mahu bergantung dengan ilmu dan teori dipelajari di universiti semata-mata kerana Malaysia sudah bergerak ke era Revolusi Industri 4.0.

Bidang teknologi maklumat menjadi keperluan utama industri hari ini dan kemampuan berkomunik­asi menjadi kelebihan untuk sesiapa sahaja menempatka­n diri di mana sahaja. Kita harus sedar, hari ini masa berlalu terlalu pantas dan siapa yang terlambat pasti akan ketinggala­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.