‘Janji BN ada unsur rasuah’

Muhyiddin selar tindakan Jeck Seng mahu bawa warga emas tunai umrah jika menang

Berita Harian - - Nasional -

Pontian: Janji calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng mahu menghantar warga emas di kawasan Parlimen Tanjung Piai menunaikan umrah jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, disifatkan berunsur rasuah.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata janji calon BN itu tidak pula didakwa bagi memancing undi seperti tuduhan dilemparka­n terhadap PH.

Katanya, tindakan kerajaan menyalurka­n bantuan kepada rakyat memerlukan di Tanjung Piai pula yang ditegur pihak lain, termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

“Bantuan khas (kerajaan) kepada nelayan tempatan sebenarnya bukan isu pun kerana ia tanggungja­wab kerajaan membantu rakyat, sama ada yang miskin atau sakit. Apakah kerana adanya PRK, kerajaan perlu menghentik­an sebarang bentuk pemberian bantuan.

“Ini (bantuan kerajaan) bukan rasuah, sebaliknya tanggungja­wab. Isu ini pernah dibawa ke mahkamah dulu dan terbukti tiada kes dapat disabitkan kerana membantu rakyat adalah tanggungja­wab kerajaan.

“Tindakan calon BN mahu menghantar warga emas menunaikan umrah jika menang PRK Parlimen Tanjung Piai itu yang sebenarnya berunsur rasuah,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Rambah, semalam.

BERSIH sebelum ini mendakwa tindakan PH memancing undi dengan menghulurk­an bantuan wang tunai adalah menyalahi undang-undang serta tidak beretika.

Ia merujuk kepada pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal kelmarin mengenai bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 seorang yang akan disalurkan kerajaan negeri, bermula minggu depan.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PH Johor dan Menteri Dalam Negeri, meminta BERSIH melihat kepada fakta dan menjadi lebih realistik.

“Mengapa tindakan calon BN tidak mendapat perhatian BERSIH, sedangkan kerajaan pula didakwa tidak beretika dan menyalahi undang-undang, diminta menghentik­an segala bentuk bantuan kepada rakyat memerlukan semata-mata kerana PRK. Itu tidak adil buat rakyat,” katanya.

(Foto Hairul Anuar Rahim/bh)

Muhyiddin bersama Karmaine dan Adun Kempas, Datuk Osman Sapian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan di Pontian, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.