Karmaine tetap yakin, sedia tabur bakti

Berita Harian - - Nasional -

Pontian: Kalah sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ketika bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Pontian tidak menjejaska­n keyakinan Karmaine Sardini, 66, untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.

Pengalaman itu juga memberikan lebih keyakinan kepadanya dan apabila ditawarkan menjadi calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bersebelah­an Parlimen Pontian, beliau melihatnya sebagai kepercayaa­n daripada pimpinan utama parti.

Apatah lagi, beliau memang berasal dari Tanjung Piai dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian itu.

“Kalah menang adat pertanding­an, situasi berbeza sekarang. Waktu di Pontian, saya tiada jawatan dalam PH di bahagian Pontian. Daerah Pontian ada dua kawasan Parlimen, Pontian dan Tanjung Piai. Saya memang asal

Tanjung Piai.

“Waktu PRU-14, pucuk pimpinan putuskan letakkan arwah Md Farid (Datuk Dr Md Farid Md Rafik) di Tanjung Piai dan saya di Pontian. Memang itu satu cabaran dan sukar kerana pada PRU-13, Datuk Seri Ahmad Maslan menang dengan lebih 13,000 undi majoriti,” katanya.

Katanya, walaupun tidak dikenali dan tidak begitu memahami keadaan di Pontian, beliau tetap berusaha dan hanya tewas kepada Ahmad dengan majoriti 833 undi.

“Tak lemahkan semangat (kalah pada PRU-14), sebaliknya saya cukup bersyukur kerana orang boleh terima walaupun hanya beberapa hari berkempen. Situasi kini berbeza apabila bertanding di Tanjung Piai, apatah lagi kini PH adalah kerajaan (negeri dan Persekutua­n),” katanya.

Karmaine berkata, PRK Tanjung Piai bukanlah sekadar pertanding­an beliau menentang calon-calon lain, tetapi mengenai PH sebagai kerajaan yang dicabar parti dan pihak lain.

“Keputusan untuk saya bertanding bukan BERSATU yang buat. Nama saya diangkat di peringkat pimpinan PH, mereka yang buat keputusan. Saya menurut amanah PH. Ini bukan pertanding­an saya, tetapi antara parti (PH) lawan parti-parti lain.

“Ia bukan nak tukar kerajaan, kita nak kekalkan PH supaya penduduk dapat manfaat daripada parti kerajaan,” katanya yang dilihat ramai sebagai individu menjurus ke arah keagamaan, tetapi turut mempunyai latar belakang profesiona­l yang baik.

Beliau juga antara penggerak awal BERSATU di Tanjung Piai sebelum PRU-14 bersama Allahyarha­m Dr Md Farid yang juga Timbalan Ketua BERSATU bahagian berkenaan.

Mengenai umurnya yang dijadikan isu dan digelar “calon tua”, Karmaine berkata, beliau tidak ambil peduli, sebaliknya menjadikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 94 tahun sebagai inspirasi untuk bekerja keras.

BERNAMA

Tak lemahkan semangat (kalah pada PRU-14), sebaliknya saya cukup bersyukur kerana orang boleh terima walaupun hanya beberapa hari berkempen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.