Suami, isteri dibicara di Norway Januari
Putrajaya: Pasangan rakyat Malaysia, Hairi Muhamad dan Norliha Khamis, yang dituduh mendera anak mereka akan dibicarakan di Mahkamah Norway pada Januari depan.
Wakil Kementerian Luar memaklumkan prosiding perbicaraan kes pasangan itu, masing-masing berusia 42 tahun, ditangguhkan selepas Hairi meminta diberi peluang menggantikan peguamnya dengan bantuan Wisma Putra.
“Mereka sepatutnya dibicarakan pada 4 hingga 6 November lalu, namun mahkamah menangguhkannya ke Januari depan atas permintaan Hairi yang mahu menggantikan peguam yang lebih berpengalaman dalam kes itu.
“Ketika ini, kita sedang berunding supaya lima anak pasangan ini dikembalikan kepada ibu bapa mereka sementara menunggu kes berlangsung atau ditempatkan di bawah jagaan satu keluarga Muslim,” katanya.
Katanya, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin turut berjumpa dengan Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset supaya kes itu diberi perhatian dan diberi bantuan konsular.
“Bagaimanapun, pasangan itu didakwa berdasarkan undang-undang Norway dan Konvensyen Kanak-kanak negara terbabit. Sebaik kita menerima maklumat kes ini, kita terus berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Stockholm dan berhubung dengan Norway Malaysia Association.
“Mereka memberikan kerjasama yang baik, termasuk mengemukakan senarai peguam berpengalaman dalam menghadapi kes seumpama ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memahami kegusaran semua pihak mengenai kebajikan lima kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan bukan Muslim, namun pihaknya sedang berusaha sebaik mungkin menangani perkara itu.
“Kalau boleh kita mahu mereka (kanak-kanak) ini dihantar pulang ke Malaysia seperti harapan Hairi dan isterinya. Kita dimaklumkan Hairi hanya diberi peluang melawat anaknya sebulan sekali berbanding sebelum ini, dua kali sebulan.
“Pelbagai usaha sedang dilakukan pihak kami bagi menjaga kebajikan lima kanak-kanak ini,” katanya.
Kementerian Luar turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang tempatan negara dilawati.
“Kita menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan undang-undang tempatan negara dikunjungi, mungkin banyak benda boleh dilakukan di Malaysia, tetapi apa yang menjadi kebiasaan di negara kita tidak sama dengan negara luar,” katanya.
Sejak Mei lalu, Hairi yang bertugas sebagai pakar kimpalan dan Norliha, hilang hak penjagaan terhadap lima anak mereka berusia antara empat dan 16 tahun selepas berdepan siasatan pihak berkuasa susulan aduan dibuat seorang daripada anaknya.
Adik Hairi, Hasrol dilaporkan media berkata, pada awal Ramadan lalu, seorang daripada anak mereka yang mungkin letih kerana berpuasa, ditegur gurunya dan dia memaklumkan tertekan kerana berpuasa pada waktu yang lama iaitu melebihi 12 jam.