Berita Harian

Skuad negara hilang ‘taji’ Muslihuddi­n

-

Kuala Lumpur: Kemenangan besar 11-0 yang dilakar skuad negara ke atas Brunei terpaksa dibayar dengan harga ‘mahal’ selepas mereka kehilangan khidmat penyerang utama, Muhammad Muslihuddi­n Atiq.

Penyerang itu mengalami kecederaan pada aksi kedua kelayakan Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) sekali gus berdepan kemungkina­n terpaksa diketepika­n untuk aksi ketiga menentang Kepulauan Mariana Utara, hari ini.

“Kita akan meneliti sejauh mana tahap kecederaan yang dialaminya. Dia pemain yang penting dalam pasukan dan buat masa ini, kita tunggu tempoh yang diperlukan untuk dia pulih daripada masalah itu.

“Apapun, kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkina­n dan saya akan persiapkan pasukan dengan baik untuk baki dua lagi aksi yang perlu diharungi selepas ini,” kata pengendali­nya, Brad Maloney.

Mengulas mengenai kemenangan besar itu, Brad mengakui anak buahnya berjaya mencari jalan untuk memecah kubu pertahanan Brunei yang bermain dengan corak pertahanan yang lebih padat.

“Walaupun menang besar tetapi Brunei memberikan masalah dan menyukarka­n anak buah saya. Mereka memberi tentangan sengit dan memiliki corak permainan yang begitu berorganis­asi.

“Perkara sebegini sudah kita jangkakan di mana mereka sama sekali akan beraksi dengan kompetitif dan tidak memberi jalan mudah,” katanya.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan kedua buat anak buah Maloney pada kempen kelayakan di Kemboja selepas menumbangk­an tuan rumah 5-4 dalam aksi pertama Kumpulan G, Sabtu lalu.

Kemenangan itu menyaksika­n skuad muda negara menghuni tangga kedua kumpulan dan berkongsi enam mata bersama pendahulu, Thailand.

Selepas bertemu Kepulauan Mariana Utara, mereka akan menutup aksi kelayakan bertemu Thailand, Ahad ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia