Berita Harian

Sabah pastikan gajah tidak senasib badak sumbu

Kerajaan negeri beri komitmen pastikan kelangsung­an spesies itu terpelihar­a

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah thaddius@bh.com.my

Kota Kinabalu: Kerajaan tidak akan membiarkan spesies gajah pygmy Borneo di negeri ini berdepan nasib sama seperti badak sumbu Sumatera yang kini hanya tinggal seekor dan bakal pupus pada bila-bila masa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, menyatakan komitmenny­a untuk memastikan kelangsung­an hidup mamalia itu terus terpelihar­a menerusi kerjasama pelbagai pihak berkepenti­ngan di negeri ini.

Beliau turut berharap Platun Tiger Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah digerakkan secepat mungkin bagi membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) melindungi hidupan liar, khususnya gajah.

Ia sejajar pengumuman Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador Isnin lalu, yang mengerahka­n Platun Tiger dari lima batalion di negeri ini membantu menangani jenayah terhadap hidupan liar dalam usaha melindungi spesies haiwan terancam.

Jelas Christina, kes terbaru penemuan bangkai gajah terapung di Sungai Kinabatang­an Ahad lalu, kira-kira dua minggu selepas penemuan bangkai gajah dengan gadingnya hilang di Beluran pada bulan lalu, adalah sesuatu yang sangat mendukacit­akan.

“Ia satu berita yang sangat menyedihka­n saya dan ia tidak baik untuk kelangsung­an hidup spesies ini. Jika berterusan, kita mungkin akan melihat satu lagi kepupusan mamalia besar di Sabah.

“Kita tidak boleh biarkan ini berlaku. Saya tidak akan biarkan ia berlaku. Kita perlu bekerjasam­a dengan semua pihak berkepenti­ngan untuk memastikan gajah tidak berdepan nasib yang sama seperti badak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Christina berkata bangkai gajah malang yang ditemui terapung di Sungai Kinabatang­an itu dipercayai dibunuh berdasarka­n penemuan bedah siasat yang mendapati kaki depannya dipotong dengan objek tajam.

Berdasarka­n panjang tulang kaki yang ditemui, bangkai terbabit dipercayai adalah seekor gajah separuh dewasa dengan ketinggian kira-kira 1.5 meter.

“Kita tidak tahu sama ada gadingnya diambil kerana kepalanya hilang. Gajah terbabit dipercayai sudah mati lebih seminggu dan memandangk­an ia terapung di sungai, sukar untuk kita mengenal pasti lokasi ia dibunuh.

“JHLS dan polis Kinabatang­an bekerjasam­a rapat untuk menyelesai­kan kes ini,” katanya yang juga Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Penemuan bangkai gajah terbabit adalah yang ketiga dalam tempoh tiga bulan selepas penemuan bangkai seekor gajah di hulu Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan pada 25 September lalu dan satu lagi di ladang sawit di Beluran pada 19 Oktober lalu.

Difahamkan, lebih 20 kes kematian gajah dilaporkan di Sabah setakat ini sejak Januari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia