Berita Harian

Raikan kebesaran hari kelahiran Rasulullah

Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah mengharusk­an penganjura­n sesuai termasuk perarakan, ceramah

- Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof afzan@bh.com.my

Rabiulawal sangat istimewa dan sangat dimuliakan umat Islam seluruh dunia kerana ia bulan kelahiran junjungan besar Rasulullah SAW yang bakal disambut esok.

Rabiulawal yang mendapat nama sempena musim bunga, mencatat banyak peristiwa penting Rasulullah SAW seperti permulaan hijrah meninggalk­an Makkah menuju Madinah dan tarikh kewafatan Baginda.

Mudir Pondok Turath Islam Baitussaad­ah, Dr Mohd Sobri Ellias, berkata disebabkan erti besar kepada umat Islam, ia patut dihayati dan dimuliakan menerusi penganjura­n majlis sambutan Maulidur Rasul.

Menyingkap malam kelahiran Rasulullah SAW, berlaku gegaran kuat di istana Kisra, Parsi hingga menyebabka­n 14 balkoni istana berkenaan runtuh.

Tasik Sawa yang dipenuhi air hingga membolehka­n kapal besar berlayar, menjadi kering-kontang.

“Pada malam kelahiran, kilat berdentam-dentum memanah syaitan, manakala berkat kelahiran Baginda menyaksika­n api sembahan kaum Majusi di Parsi yang dikatakan menyala sejak 1,000 tahun, terpadam dengan takdir Allah SWT.

“Sewaktu kelahiran Rasulullah SAW, cahaya keluar daripada tubuh bonda Rasulullah, Saidatina Aminah hingga menerangi istana di Syam, bahkan beliau dapat melihat leher unta di Basrah.

“Kejadian itu membuktika­n kelahiran Rasulullah

SAW sangat diraikan seluruh alam,” katanya kepada

Ibrah.

Mohd Sobri berkata, jasad Rasulullah SAW ketika dilahirkan sangat luar biasa berbanding bayi lain, iaitu bawah kelopak matanya hitam bercelak, manakala tubuhnya berminyak dan sudah dikhatanka­n.

Tarikh kelahiran Rasulullah pada tanggal 12 Rabiulawal itu mengikut qaul atau pandangan muktamad, manakala ia jatuh pada Isnin tanpa perselisih­an dalam kalangan ulama.

Sewaktu kelahiran Rasulullah SAW, cahaya keluar daripada tubuh bonda Rasulullah, Saidatina Aminah hingga menerangi istana di Syam, bahkan beliau dapat melihat leher unta di Basrah. Kejadian itu membuktika­n kelahiran Rasulullah SAW sangat diraikan seluruh alam

Mohd Sobri Ellias, Mudir Pondok Turath Islam Baitussaad­ah

“Rasulullah SAW dilahirkan pada malam damai, harmoni dan amat menenangka­n serta suhunya tidak terlalu sejuk atau panas.

“Ibn Abdil Baar menyatakan Baginda dilahirkan sebulan selepas tentera bergajah pimpinan Abrahah mati dalam serangan burung ababil ketika mahu menghancur­kan Kaabah,” katanya.

Bulan kelahiran Rasulullah SAW, Mohd Sobri berkata, Maulidur Rasul wajar diraikan dengan mengadakan majlis sambutan, selain mengadakan perarakan untuk menzahirka­n kegembiraa­n dan rasa syukur nikmat pengutusan Rasul akhir zaman.

Justeru, memperinga­tinya amat wajar memandangk­an pengutusan Baginda membawa pedoman, petunjuk dan rahmat kepada manusia, sekali gus nikmat tidak ternilai dan tiada tolok bandingnya.

“Kita hendaklah meletakkan kecintaan kepada Nabi SAW melebihi cinta diri sendiri, kedua-dua orang tua, anak serta manusia keseluruha­nnya,” katanya.

Anas ibnu Malik RA meriwayatk­an Rasulullah SAW bersabda: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu hingga aku terlebih dikasihiny­a berbanding anak-anak, kedua-dua ibu bapa dan manusia lainnya. (HR Bukhari)

Mohd Sobri menjelaska­n kita digalakkan melakukan perarakan Maulidur Rasul dan majlis ilmu seperti ceramah serta forum untuk menceritak­an akidah, akhlak dan keperibadi­an Rasulullah SAW kepada masyarakat.

Beliau berkata, ia sangat efektif dalam menyuntik dan menyubur rasa rindu, cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dalam kalangan generasi muda.

Mohd Sobri turut menolak pandangan yang menganggap Maulidur Rasul sebagai bidaah atau menyamakan perarakan sempena sambutan itu seperti perarakan agama lain dan mendakwa ia diasaskan penganut Syiah.

“Pandangan itu tidak benar, bercanggah dengan pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan barangkali disebabkan salah faham terhadap Islam serta sejarah peradabann­ya,” katanya.

Imam al-hafiz Ibnu Hajar al-asqalani berkata: “Sesungguhn­ya mengadakan sambutan Maulidur Rasul, ia suatu bidaah yang baik.”

Pandangan ulama hadis dan fiqh itu menunjukka­n ada pahala daripada amalan berkenaan.

Meskipun Rasulullah SAW tidak pernah mengadakan perarakan sempena kelahiran, ia tidak bermakna haram dilakukan.

“Ia tergolong sebagai bidaah yang baik, manakala perarakan itu dikiaskan dengan perarakan dilakukan sahabat di Makkah sebagai tanda kegembiraa­n terhadap keislaman Saidina Umar RA.

“Jika ia harus dilakukan, perarakan menzahirka­n kegembiraa­n terhadap pengutusan Nabi Muhammad SAW lebih patut diadakan,” katanya.

Tokoh pertama yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul ialah al-malik al-muzaffar Abu Sa’id al-kukabri, iaitu Raja Irbil pada kurun ke-7 Hijrah.

Selain pemerintah, baginda ialah orang alim, bertakwa dan berani serta menghimpun­kan ramai ulama dalam kalangan ahli hadis dan ahli sufi yang benar.

Amalan itu dipandang baik ulama dari Timur dan Barat seperti al-hafiz Ibnu Dihyah; al-hafiz Zayn ad-din al-iraqi dan anak muridnya, Ibn Hajar al-asqalani yang juga menghasilk­an kitab Syarah Sahih al-bukhari; al-hafiz al-sakhawi; al-hafiz Ibnu Jawzi serta al-hafiz as-suyuti.

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa merintis suatu perkara baik dalam Islam, dia akan beroleh ganjaran daripada perkara itu dan ganjaran orang yang melakukan perkara yang dirintis selepasnya tanpa berkurang sedikitpun daripada pahala yang mereka peroleh. (HR Muslim)

Sambutan Maulidur Rasul juga amat digalakkan ulama Tanah Jawi atau Alam Melayu yang terdahulu.

Ramai ulama di rantau ini mengarang kitab mengenai keharusan mengadakan sambutan Maulidur Rasul seperti Sheikh Nawawi al-bantani dalam Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumah as-saiyid al-barzanji Zainal ‘Abidin fi Maulid Saiyidil Awwalin wal Akhirin.

Beliau turut menghasilk­an kitab Bughyatul ‘Awam fi Syarhi Maulid Saiyidil Anam dan Alibrizud Dani fi Maulidi Saiyidil Adnani.

Tuan Guru Haji Sulong Patani yang juga cucu Tuan Minal al-fathani pula menghasilk­an Cahaya Islam Gugusan Maulid Saiyidil Anam; Sheikh Tuan Husain Kedah (Tafrih al-shibyan fi Mawlid an-nabiy min Waladi ‘Adnan) dan Sheikh Abu Bakar Hasan al-muari (Mustika Ajaib).

Ulama terkenal kelahiran Kelantan, Tok Kenali pula mengarang risalah Risalatud Durril Manthur dan Syeikh Wan Ali Kutan al-kalantani (Risalah Majma’ al-qashaid wa al-‘awaid) yang kedua-duanya terjemahan Kitab Qasidah al-burdah karangan alimam al-busiri.

 ??  ??
 ??  ??
 ?? (Foto Eizairi Shamsudin/bh) ?? Mohd Sobri bersama pelajar membuat latihan selawat ke atas Rasulullah SAW di Pusat Kecemerlan­gan Pengajian Islam Baitussaad­ah di Kota Damansara.
(Foto Eizairi Shamsudin/bh) Mohd Sobri bersama pelajar membuat latihan selawat ke atas Rasulullah SAW di Pusat Kecemerlan­gan Pengajian Islam Baitussaad­ah di Kota Damansara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia