Berita Harian

Sebak tatap wajah cucu kesayangan terbujur kaku

-

Temerloh: Tiada kata yang mampu diungkapka­n Abdul Rahman Yusof, 76, sebaik menatap wajah cucu kesayangan­nya yang terbujur kaku tidak bernyawa.

Tidak terlintas di hatinya untuk bertemu cucunya, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, dalam keadaan sedemikian, apatah lagi kali terakhir mereka berjumpa pada Julai lalu.

Abdul Rahman berkata, cucunya yang lebih mesra dengan panggilan Mohamad itu disifatkan sebagai kanak-kanak yang cergas dan jarang jatuh sakit.

“Saya menjaganya dari dia mula belajar merangkak sehinggala­h mula bersekolah, selepas itu dia tinggal dengan ayahnya (Nurul Amin Abdul Rahman, 36).

“Mohammad seorang cucu yang baik dan ceria, apabila mengetahui kejadian menimpanya saya berasa tidak percaya. Hati saya sebak, tak tahu nak cakap apa,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, dia selama ini tidak mengetahui cucunya itu dihantar ke maahad tahfiz berkenaan kerana anak serta menantunya tidak memaklumka­n perkara itu kepadanya.

Mohammad Aimin adalah anak tunggal Nurul Amin bersama bekas isterinya yang berasal dari Sabah.

Sementara itu, ibu tiri mangsa, Asmaliza Ahmad, 39, berkata dia pada mulanya menyangka Mohammad Aimin hanya sakit biasa apabila warden maahad tahfiz memberitah­u anak tirinya itu dibawa ke klinik.

“Tersentak saya apabila dimaklumka­n Mohammad Aimin sudah tiada, malah terdapat kesan lebam padanya.

“Ketika dia pulang ke rumah Khamis lalu saya tidak perasan akan kesan lebam berkenaan. Apa yang ada hanya kesan kudis,” katanya.

Jenazah Mohammad Aimin dikebumika­n di Tanah Perkuburan Kampung Charuk Puting selepas solat Asar semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia