Berita Harian

SOSMA tak akan dimansuh

Sebarang pindaan bagi menambah baik pelaksanaa­n: Muhyiddin

- Bhnews@bh.com.my

Pontian: Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) menegaskan, Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan dimansuhka­n, sebaliknya hanya membabitka­n pindaan bagi menambah baik pelaksanaa­nnya.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaa­n SOSMA perlu dipertahan­kan kerana ia penting bagi menghadapi keganasan dan jenayah rentas sempadan, malah Malaysia turut dijadikan pangkalan mempromosi­kan keganasan.

Katanya, sesi libat urus bersama pihak berkaitan termasuk ahli akademik, Parlimen dan Majlis Peguam sedang dijalankan sebelum pindaan SOSMA dapat dilaksanak­an.

“Keputusan kerajaan termasuk dalam manifesto adalah kekal iaitu tidak akan dimansuh SOSMA, (sebaliknya) ia akan dipinda.

“Langkah sudah dimulakan dan kita baru selesai satu pusingan bawa ke Kabinet yang mahu ada pandangan lain untuk diperhalus­i.

“Jadi kita buat sesi libat urus untuk mendapatka­n input dan selepas ini akan dibawa semula ke Kabinet untuk keputusan muktamad,” katanya selepas Majlis Minum Petang bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Balai Polis Pekan Nanas, Pontian, semalam.

Sebelum ini UMNO menyuaraka­n kebimbanga­n pemansuhan SOSMA akan membuka lebih banyak ruang kepada pihak tertentu untuk meningkatk­an provokasi antara kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial dan internet.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata, kerajaan akan menghapusk­an SOSMA kerana menyifatka­n akta itu sebagai zalim tanpa memberi hak kepada pesalah untuk diadili.

Muhyiddin berkata, pelaksanaa­n SOSMA masih lagi perlu untuk diteruskan namun mengambil pandangan sesetengah pihak supaya ia ditambah baik.

Beliau berkata, cadangan mengurangk­an tempoh reman tahanan daripada 28 hari kepada 14 hari juga masih diperhalus­i.

Katanya, polis yang menguat kuasa undang-undang juga memberi pandangan dan ada yang mengatakan tempoh 14 sudah mencukupi tetapi ada juga yang menjelaska­n ia tidak mencukupi.

“Kita ambil pandangan. Contohnya, kita akan mulakan tempoh 14 hari, untuk lanjut kena minta mahkamah selepas hakim setuju baru kita lanjutkan 14 hari lagi. Ada semak dan imbang,” katanya.

Keputusan kerajaan termasuk dalam manifesto adalah kekal iaitu tidak akan dimansuh SOSMA, (sebaliknya) ia akan dipinda. Langkah sudah dimulakan dan kita baru selesai satu pusingan bawa ke Kabinet yang mahu ada pandangan lain untuk diperhalus­i

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia