Berita Harian

Arwah tidak pernah susahkan ibu bapa

Emak hairan Saifullah tak salam keluar rumah kali terakhir

- Oleh Nur Izzati Mohamad bhnews@bh.com.my

Saya pelik sebab biasanya kalau hendak keluar, pasti dia akan bersalam dulu tetapi dia keluar begitu sahaja, tanpa maklum apa-apa.

Siti Hajar Ghazali, Ibu

Georgetown: “Sepanjang hayatnya, tidak pernah sikit pun arwah susahkan kami dalam hal kewangan apabila mahu membeli sesuatu, kerana dia suka berdikari mencari duit sendiri jika mahukan sesuatu,” kata ibu kepada pelajar Tingkatan Empat yang maut akibat dirempuh bas dalam nahas di Setia Triangle dekat Bayan Lepas, petang kelmarin.

Suri rumah, Siti Hajar Ghazali, 38, mengakui beliau dan suaminya, Mohammad Hafeiz Mubara, 44, kehilangan kata-kata sejurus menerima khabar tragedi menimpa anak sulung mereka, Muhammad Saifullah Muhammad Hafiz, 16.

“Saya pelik semalam (kelmarin) sebab biasanya kalau hendak keluar, pasti dia akan bersalam dulu tetapi dia keluar begitu sahaja, tanpa memaklumka­n apa-apa.

“Tidak lama kemudian saya dapat panggilan memaklumka­n kemalangan yang meragut nyawanya,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, Saifullah, meninggal dunia manakala tiga lagi pengguna jalan raya cedera akibat dirempuh bas yang hilang kawalan ketika menuju ke Bayan Lepas.

Selepas hilang kawalan, bas berkenaan melanggar sebuah kereta Suzuki Swift dipandu seorang wanita bersama dua anaknya, sebelum merempuh sebuah motosikal di bahu jalan.

Bas terus bergerak sehingga lampu isyarat Jalan Datuk Ismail Hasyim sebelum merempuh motosikal ditunggang Saifullah yang berhenti di situ. Pergerakan bas itu hanya terhenti selepas merempuh tembok batu pagar sebuah rumah berhampira­n.

Jenazah Saifullah selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-mustaghfir­in di Sungai Tiram, Bayan Lepas, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Lebih 50 ahli keluarga, guru serta sahabatnya hadir sebagai memberi penghormat­an terakhir.

Siti Hajar berkata, anak sulungnya daripada tujuh beradik itu adalah harapan keluarga kerana semangatny­a yang sentiasa ingin membantuny­a bersama suami.

Katanya, Saifullah bekerja sambilan sebagai penghantar makanan sebuah restoran makanan segera sejak Mei lalu.

“Dia masih bersekolah tetapi dari dulu jenis tidak akan duduk diam dan akan membuat kerja-kerja sambilan untuk mengumpul duit demi masa depannya.

“Dia beritahu tidak mahu susahkan saya dan ayahnya. Apa sahaja yang dia nak, akan diusahakan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Hafeiz mengakui anak lelakinya itu seorang yang kuat berdikari, walaupun bersikap pendiam dan jarang bercakap.

“Namun, dia anak yang baik, tidak pernah sekali pun susahkan saya dengan ibunya, selain sangat rapat dengan saudara maranya,” katanya.

 ??  ??
 ?? (Foto Mikail ONG/BH) ?? Ahli keluarga, termasuk ibu dan ayah serta rakan sekolah di pusara Muhammad Saifullah di Tanah Perkuburan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
(Foto Mikail ONG/BH) Ahli keluarga, termasuk ibu dan ayah serta rakan sekolah di pusara Muhammad Saifullah di Tanah Perkuburan Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia