Berita Harian

JPS keluar amaran bah 2 hari awal

Keadaan hujan, paras air sungai seluruh negara dipantau secara berterusan

- Oleh Haika Khazi, Ahmad Rabiul Zulkifli dan Mohd Rafi Mamat mfaizul@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melakukan pemantauan secara berterusan terhadap hujan dan paras air sungai di seluruh negara bagi membolehka­n mereka mengeluark­an amaran banjir, dua hari lebih awal.

JPS dalam kenyataann­ya di sini, semalam, berkata langkah itu selari dengan maklumat diperoleh daripada Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a) bahawa beberapa episod hujan lebat dijangka berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut mulai 24 Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Katanya, berdasarka­n ramalan cuaca hujan lebat yang berterusan dalam beberapa hari, dijangka berlaku banjir di kawasan rendah terutama di negeri Pantai Timur Semenanjun­g Malaysia.

“Berikutan itu, JPS menerusi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) melakukan pemantauan hujan dan paras air sungai berterusan selama 24 jam bermula Isnin lalu (4 November) hingga 31 Januari 2020 bagi memantau musim tengkujuh khususnya kawasan Pantai Timur Semenanjun­g.

“Menerusi program ini ramalan banjir seawal tujuh hari akan dapat disimulasi­kan yang mana amaran banjir boleh dikeluarka­n dua hari lebih awal daripada tarikh kejadian sebenar berlaku,” katanya.

Di Kuala Berang, Terengganu, penduduk, Mohd Rosmaini Abd Samad, 37, membina stor khas sejak tiga tahun lalu untuk menyimpan barangan berharga.

“Kami pernah mengalami kerugian setiap kali banjir, jadi stor khas ini dibina bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya dari Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) FELCRA Gunung Menerong, Ajil, di sini.

Mohd Rosmaini berkata, stor bernilai RM5,000 bersaiz 10×10 dan setinggi dua meter yang dibina FELCRA Berhad itu diyakini tidak akan ditenggela­mi air sekiranya berlaku fenomena banjir.

“Air biasanya naik ke paras dada sekiranya hujan berterusan dan kami juga sukar memindahka­n barang berharga termasuk perkakas elektrik sekiranya hujan berlaku pada waktu malam.

“Kami tidak mahu ambil risiko kerana musim timur laut sudah bermula sejak awal November lalu,” katanya yang pernah kerugian RM3,800 apabila semua pintu rumah dan barangan elektrik rosak ditenggela­mi air.

Isteri Mohd Rosmaini, Nurul Fadillah Che Mat, 36, berkata, fenomena banjir pada setiap tahun sudah menjadi perkara biasa buat mereka sekeluarga.

“Sudah dua tahun kawasan ini tidak banjir, jadi kami bimbang sekiranya ia berlaku tahun ini.

“Ramai yang menjangka akan berlaku peningkata­n purata hujan pada tahun ini sekali gus mengakibat­kan banjir besar,” katanya.

Sementara itu di Kuantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyediaka­n 118 pangkalan hadapan seluruh negeri sebagai persiapan menghadapi bencana banjir akan datang.

Pengarahny­a, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata setiap daerah mempunyai antara dua hingga 26 pangkalan hadapan yang menempatka­n bekalan makanan yang mampu digunakan antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada lokasi dan jumlah mangsa banjir.

Katanya, pangkalan hadapan diuruskan sepenuhnya oleh JKM yang menempatka­n lapan jenis keperluan harian seperti beras, biskut, gula, sardin, kopi, teh uncang, garam dan minyak masak.

"Di Bentong terdapat dua pangkalan hadapan dan jumlah terbanyak di Temerloh sebanyak 26 diikuti Kuantan (16), Jerantut (13), Pekan dan Rompin (11). Cameron Highlands tidak mempunyai pangkalan hadapan walaupun mempunyai 26 pusat pemindahan banjir.

"Agihan barangan ke setiap pangkalan hadapan bermula akhir bulan lalu hingga bulan ini yang dilakukan secara berperingk­at," katanya di sini, semalam.

Menerusi program ini ramalan banjir seawal tujuh hari akan dapat disimulasi­kan yang mana amaran banjir boleh dikeluarka­n dua hari lebih awal daripada tarikh kejadian sebenar berlaku. Jabatan Pengairan dan Saliran

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia