Berita Harian

Penduduk resah rumah masuk air ketika hujan lebat

Bumbung flat empat tingkat diterbang angin sejak awal bulan lalu

- Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi tuty@bh.com.my

Seremban: Sejak hampir sebulan lalu, penduduk di Flat Sri Rasah di sini, resah apabila rumah mereka dimasuki air ketika hujan lebat.

Ini berikutan bumbung flat empat tingkat itu diterbangk­an angin dalam kejadian hujan lebat berserta angin kuat, awal bulan lalu.

Sejak itu, rumah di tingkat dua hingga empat akan dimasuki air setiap kali hujan, sehingga menyukarka­n penduduk menjalani kehidupan seharian.

Penduduk, M Indran, 29, berkata dia kini tidak lagi tinggal di rumah sewanya kerana setiap kali hujan, air akan masuk di setiap penjuru rumah.

Penyelia keselamata­n itu berkata, ketika ini dia menumpang di rumah ibunya di tingkat satu flat sama, berikutan hanya rumah di tingkat itu tidak terjejas.

“Saya tidak boleh lagi tinggal di rumah sewa kerana air akan masuk setiap kali hujan. Ketika ini saya dalam proses pindahkan perabot,” katanya ketika ditemui di Flat Sri Rasah, di sini.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia sudah tinggal di flat itu sejak kecil dan ia kejadian pertama bumbung kediaman yang dibina pada 1985 diterbangk­an angin.

Sementara itu, Pauline George, 31, berkata banyak kenderaan yang diletakkan di bawah flat dua blok itu rosak, selepas bumbung diterbangk­an angin.

Katanya, penduduk menanggung kerugian yang besar, selain terpaksa berdepan masalah air hujan masuk ke rumah.

“Mujur ketika ini tingkat empat di kedua-dua blok tidak berpenghun­i, tetapi mereka yang tinggal di tingkat dua dan tiga menjadi mangsa kerana air masuk dari tingkat atas rumah.

“Selain bumbung rosak, setiap tangga di flat ini gelap. Pernah ada beberapa kes penduduk terjatuh sehingga patah kaki,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntu­kkan lebih RM50,000 bagi membaiki bumbung dan saluran air di flat berkenaan.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesejahter­aan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, berkata kerja membaiki bumbung dijangka dimulakan dua minggu lagi.

“Kerja membaiki bumbung flat ini dijangka siap sepenuhnya akhir bulan depan.

“Saya harap dengan bantuan ini, lebih 150 penduduk akan tinggal dengan lebih selesa selepas ini,” katanya selepas melawat Flat Sri Rasah, di sini.

Mengenai peruntukan lain, termasuk untuk membaiki longkang dan lampu yang rosak, Kok Seong berkata, pihaknya akan melihat keutamaan terlebih dahulu.

Katanya, kegagalan penduduk membayar yuran penyelengg­araan menimbulka­n banyak masalah di flat itu.

Justeru, katanya, penduduk perlu memastikan yuran dibayar supaya flat itu dapat diuruskan dengan lebih baik.

 ?? (Foto Adzlan Sidek/bh) ?? Kok Seong (kiri) meninjau keadaan Flat Sri Rasah, di Seremban, semalam.
(Foto Adzlan Sidek/bh) Kok Seong (kiri) meninjau keadaan Flat Sri Rasah, di Seremban, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia