Berita Harian

3 lokasi jadi tempat buang sampah secara haram

Aktiviti masih berterusan walaupun banyak laporan sudah dibuat

- Oleh Norzamira Che Noh bhnews@bh.com.my

Shah Alam: Kawasan terpencil, jauh daripada pandangan pihak berkuasa di daerah ini dikesan sering dijadikan tempat pelupusan sampah secara haram.

Di Kampung Lombong, Seksyen 29, di sini, sekurang-kurangnya tiga lokasi dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram oleh pihak tidak bertanggun­gjawab.

Difahamkan, walaupun banyak laporan sudah dibuat, pihak berkenaan tetap melakukan kerja pembuangan dan akan berhenti apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat rondaan.

Ketua Kampung Lombong, Sumardy Abdul Sani, berkata kawasan yang dikesan menjadi tempat pembuangan sampah tanpa permit itu ialah Jalan Lombong Timah 4, Jalan Lombong Timah 2 dan Jalan Lombong Perak 2.

“Kawasan yang dijadikan tempat pembuangan adalah tanah persendiri­an dan kebanyakan tanah di kampung ini masih berstatus tanah pertanian.

“Kawasan yang paling teruk adalah berdekatan rumah saya di Jalan Lombong Timah 4 yang mula menjadi lokasi pembuangan sampah, akhir tahun lalu.

“Selain berbau busuk dan mengundang kehadiran haiwan perosak, kawasan pembuangan itu pernah terbakar pada Ogos lalu sehingga saya sendiri membawa air dalam baldi untuk memadam api kerana bimbang ia merebak,” katanya ketika ditemui BH di Kampung Lombong, Seksyen 29.

Beliau berkata, pembuangan sisa secara haram oleh pengusaha lori itu banyak berlaku di kampung berkenaan kerana ada tanah yang terbiar tanpa pengetahua­n pemilik.

“Kita pernah mengadakan perjumpaan bersama pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pejabat Tanah dan Daerah awal tahun ini.

“MBSA juga sudah mengeluark­an notis kepada pemilik untuk mengosongk­an tanah berkenaan tetapi tiada tindakan diambil pemilik tanah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu pihak berkuasa meletakkan bongkah batu dan pagar untuk menghalang lori yang membawa sampah haram memasuki kawasan berkenaan.

Kawasan yang dijadikan tempat pembuangan adalah tanah persendiri­an dan kebanyakan tanah di kampung ini masih berstatus tanah pertanian. Sumardy Abdul Sani, Ketua Kampung Lombong

Sumardy berkata, walaupun kawasan berkenaan sudah dipagar, beliau masih bimbang pihak yang tidak bertanggun­gjawab akan menjadikan lokasi lain pula sebagai tempat pembuangan sampah.

Tinjauan BH ke lokasi mendapati kawasan itu sudah ditutup untuk laluan lori, bagaimanap­un, timbunan sampah terutama sisa domestik belum dibersihka­n.

Longgokan sampah berkenaan juga dikhuatiri menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes berikutan terdapat banyak bekas plastik dan botol yang dibuang di kawasan itu.

 ?? (Foto Sairien Nafis/bh) ?? Sumardy meninjau kawasan pembuangan sampah haram di Kampung Lombong Seksyen 29, Shah Alam.
(Foto Sairien Nafis/bh) Sumardy meninjau kawasan pembuangan sampah haram di Kampung Lombong Seksyen 29, Shah Alam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia