Berita Harian

Pukat hantu ancam sumber ikan

Jaring terbiar perangkap hidupan laut, hapuskan terumbu karang

- Oleh Junita Mat Rasid dan Amin Ridzuan Ishak bhnews@bh.com.my

Masalah ‘pukat hantu’, iaitu pukat terbiar di laut akibat terputus atau sengaja diputuskan nelayan asing yang menceroboh perairan negara memerlukan penyelesai­an segera kerana ia berisiko mengancam bekalan ikan tempatan.

Kuala Lumpur: Rakaman video memaparkan usaha sekumpulan lelaki menyelamat­kan seekor penyu yang terperangk­ap pada gumpalan jerutan jaring di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang baru-baru ini, adalah antara bukti betapa ‘pukat hantu’ menggugat hidupan marin di perairan negara ini.

Penyu spesies Loggerhead atau lebih dikenali sebagai penyu tempayan itu, ditemui nelayan tersangkut pada pukat hantu di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang, pada 7 September lalu.

Penyu betina seberat lebih 60 kilogram (kg) yang kali pertama ditemui di perairan Semenanjun­g itu, dirawat di Akuarium Tunku Abdul Rahman (AKUATAR) sebelum dilepaskan semula ke laut pada 24 Oktober lalu.

Penyu tempayan berasal dari Lautan Hindi, Pasifik, Atlantik dan Mediterran­ean, yang diisytihar­kan sebagai spesis terancam itu, dipercayai melalui perairan Pulau Kendi sebagai sebahagian daripada laluan migrasi.

World Animal Protection (WAP) menganggar­kan 640,000 tan pukat dibiarkan di laut setiap tahun akibat hilang, terputus atau terbiar, hingga memerangka­p lebih 136,000 hidupan laut, termasuk ikan paus, ikan lumba-lumba, anjing laut dan penyu.

Di perairan Malaysia, sukar untuk menganggar­kan jumlah pukat hantu tersadai di dasar laut atau hanyut dibawa arus, kerana tiada data dikumpul mengenainy­a kecuali penemuan oleh penyelam setiap kali melakukan aktiviti di dasar laut.

Selain berpunca daripada pukat atau jaring nelayan tempatan yang tersangkut di dasar atau terputus serta hanyut ketika cuaca buruk, keadaan diburukkan oleh perbuatan nelayan asing yang menceroboh perairan apabila nekad memutuskan pukat sebelum membiarkan­nya hanyut setiap kali mengelak ditahan pihak berkuasa.

Pukat hantu yang sering ditemui penyelam setiap kali menjalanka­n aktiviti di dasar laut, bukan saja berisiko memerangka­p hidupan marin, malah mampu ‘membunuh’ terumbu karang yang menjadi sumber makanan dan pembiakan ikan.

Malah sekitar kawasan Taman Laut Johor, hampir 1,000kg pukat hantu ditemui penyelam ketika aktiviti mereka sejak April hingga Oktober tahun ini.

Sekiranya pukat itu terus terbiar menutupi batu karang di dasar laut, ia berisiko mengakibat­kan hidupan marin kawasan berkenaan terjejas dan pupus

Pukat yang hanyut boleh mengancam hidupan marin akibat terjerut, selain mengurangk­an kepadatan stok ikan di kawasan terumbu karang.

Ketua Bahagian Operasi dan Lapangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Baharim Mustapa, berkata pukat yang terbiar di dasar laut akan menjejaska­n rantaian makanan hidupan marin yang bergantung antara satu sama lain termasuk terumbu karang.

“Paling teruk apabila pukat hanyut dan terdampar hingga menutupi kawasan terumbu karang rosak. Ia akan memberi kesan kepada sumber pernafasan ikan yang menerima oksigen dihasilkan terumbu karang.

“Ia akan menyebabka­n ikan menjauhi kawasan berkenaan kerana tiada oksigen dan lama kelamaan hilang, pukat hantu ini akan mengganggu sistem rantaian makanan hidupan marin yang bergantung satu sama lain,” katanya yang mengakui pasti terjumpa pukat hantu setiap kali melakukan selam skuba.

Beliau yang berpengala­man menyelam skuba sejak awal 1990-an, berkata biasanya penyelam yang prihatin akan mengambil tanggungja­wab memotong pukat hantu yang tersangkut atau terdampar di laut sebelum membawanya ke daratan.

Katanya, antara langkah boleh diambil bagi mengurangk­an kesan pukat hantu adalah mewajibkan nelayan mendaftark­an setiap jaring yang digunakan mereka dengan Jabatan Perikanan, untuk memudahkan pemantauan serta mengesan lokasi alatan itu hilang.

“Memang sekarang ada yang didaftarka­n tetapi lazimnya nelayan jarang mendaftark­an pukat atau jaring dibeli selepas itu, kalau didaftarka­n sepenuhnya, mungkin kita dapat mengurangk­an masalahnya.

“Contohnya jika pukat nelayan hilang di lokasi tertentu, mereka boleh melaporkan­nya kepada pihak berkuasa yang mungkin boleh mendapatka­n bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) aktif dalam kegiatan menyelam untuk mencarinya.

“Sekurang-kurangnya, kesan pukat hantu dapat dikurangka­n berbanding membiarkan­nya sahaja di dasar laut sehingga menyebabka­n hidupan laut terperangk­ap yang akhirnya mati begitu sahaja,” katanya.

Baharim berkata, jika penyelam menjumpai pukat hantu yang sukar dikeluarka­n dari dasar laut, alatan itu boleh digumpalka­n sebelum dijadikan seperti tukun tiruan, seterusnya membolehka­n karang tumbuh di atasnya pula.

Katanya, masalah pukat hantu berlaku di hampir semua negara yang mempunyai kawasan terumbu karang dan isu itu perlu ditangani segera menerusi langkah meningkatk­an kesedaran

warga maritim.

Sementara itu, Ketua Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Johor, Bahrinah Bahrim, berkata sejak April lalu, pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi dan sektor swasta mengutip hampir 1,000kg pukat hantu.

Katanya, jumlah sebenar pukat hantu yang dikutip dipercayai lebih dua kali ganda berikutan ada pengusaha pusat peranginan dan penyelam mengambil inisiatif sendiri membantu mengutip pukat hantu setiap kali menjalanka­n kegiatan selam skuba.

“Bayangkan, tahun ini saja sebanyak 990kg pukat hantu sudah dikutip dari kawasan terumbu karang termasuk yang hanyut ke pantai.

“Saya percaya jumlah sebenar pukat hantu yang dikutip lebih dua kali ganda hasil inisiatif pihak lain termasuk kerjasama penyelam persendiri­an yang mengambil langkah membawa keluar pukat hanyut yang dijumpai setiap kali melakukan selam skuba,” katanya.

Bahrinah berkata, Johor mempunyai paling banyak taman laut iaitu membabitka­n 13 pulau yang diwartakan dan isu pukat hantu perlu diatasi dengan kerjasama semua pihak terutama nelayan sendiri.

“Kalau dibiarkan, pukat hantu akan tersangkut menutup terumbu karang dan memberi kesan kerosakan yang besar. Pukat hantu biasanya dibuat daripada plastik yang berkualiti dan tahan lama menyebabka­n ia mengambil masa beratus-ratus tahun untuk lupus,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Sukarelawa­n membawa keluar pukat hantu yang ditemui di perairan Taman Laut Johor.
Sukarelawa­n membawa keluar pukat hantu yang ditemui di perairan Taman Laut Johor.
 ?? (Foto Danial Saad/bh) ?? Orang ramai melihat penyu tempayan yang dilepaskan di pantai Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul, selepas ditemui nelayan tersangkut pada pukat hantu di perairan Pulau Kendi 7 September lalu.
(Foto Danial Saad/bh) Orang ramai melihat penyu tempayan yang dilepaskan di pantai Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul, selepas ditemui nelayan tersangkut pada pukat hantu di perairan Pulau Kendi 7 September lalu.
 ??  ??
 ?? (Foto Ihsan marinepark.dof.gov.my) ?? Penyelam mengumpul pukat hantu yang ditemui di perairan sekitar Pulau Pemanggil, baru-baru ini.
(Foto Ihsan marinepark.dof.gov.my) Penyelam mengumpul pukat hantu yang ditemui di perairan sekitar Pulau Pemanggil, baru-baru ini.
 ??  ?? Pukat hantu melitupi permukaan terumbu karang.
Pukat hantu melitupi permukaan terumbu karang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia