Berita Harian

Kempen mulai meriah

Jentera parti perhebat pasang poster, kain rentang calon

-

Kimanis: Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semakin dirasai apabila kempen memasuki hari keempat semalam selepas proses penamaan calon selesai pada 4 Januari lalu.

Tinjauan mendapati suasana kempen yang tidak begitu rancak pada hari pertama kini mulai meriah dengan deretan bendera putih dan biru, mewakili warna bendera parti bertanding di sekitar kawasan Membakut dan Bongawan di sini.

Jentera kempen kedua-dua parti politik yang bertanding mula memperheba­tkan kerja menggantun­g dan memasang poster serta kain rentang yang memaparkan gambar calon serta logo parti masing-masing sejak kelmarin.

Seorang petugas jentera Parti Warisan Sabah (WARISAN), Azman Jamily, 30, berkata mereka mula memasang bendera sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu, terutama di kawasan strategik seperti di jambatan dan kawasan tumpuan ramai.

“Kami mula awal (pasang bendera) kerana mahu dapatkan tempat paling strategik dan tempat yang sering dilalui orang ramai. Kami juga mahu dapatkan tempat sebelum parti lawan datang ke lokasi itu,” katanya.

Kehangatan suasana kempen dirasai dengan calon yang bertanding mengadakan pelbagai program turun padang dan ceramah bagi memenangi hati pengundi.

Tinjauan di sekitar kawasan Beaufort pula mendapati PRK itu ternyata membuka pintu rezeki kepada peniaga di kawasan itu.

Peniaga makanan, Amanina Azman, 19, berkata permintaan untuk kepak ayam madu bakar dan pisang goreng yang dijualnya meningkat dua kali ganda sejak dua hari lalu. BERNAMA

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Pekan lama Membakut dihiasi bendera parti bertanding PRK Kimanis pada 18 Januari ini.
(Foto BERNAMA) Pekan lama Membakut dihiasi bendera parti bertanding PRK Kimanis pada 18 Januari ini.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia