Berita Harian

KWSP lantik 2 pengurusan kanan baharu

-

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melantik Rohaya Mohammad Yusof sebagai Ketua Pegawai Pelaburan dan Nurhisham Hussein sebagai Ketua Pegawai Strategi yang baharu.

Pengumuman pengurusan baharu itu susulan tamatnya perkhidmat­an Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif pada 31 Disember 2019.

Rohaya sebelum ini adalah Ketua Pasaran Swasta KWSP, yang bertanggun­gjawab menerajui pasukan meninjau peluang pasaran swasta tempatan dan global, manakala Nurhisham pula menyertai KWSP pada 2014 sebagai Ketua Jabatan Ekonomi dan Pasaran Modal.

Rohaya dan Nurhisham menyertai pasukan pengurusan kanan pengurus dana persaraan itu, diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, yang turut termasuk Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish, Ketua Pegawai Kewangan, Sazaliza Zainuddin dan Ketua Pegawai Teknologi, Muhammad Afzal Abdul Rahman.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Tunku Alizakri berkata, pelantikan Rohaya dan Nurhisham membuktika­n KWSP meletakkan keutamaan dalam bakat dan pelan penggantia­n kepemimpin­an yang mantap.

Beliau berkata, kedua-duanya adalah pelantikan dalaman kerana mereka sudah lama berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di KWSP.

“Seperti diketahui, Rohaya sebagai individu yang dihormati dalam industri kewangan dan beliau berada dalam kedudukan baik untuk menyediaka­n elemen pelbagai yang tepat pada masanya kepada pasukan pengurusan kanan kami.

“Sementara itu, Nurhisham pula antara ahli ekonomi terkemuka di negara ini mempunyai pengalaman dalam membangunk­an strategi keselamata­n sosial dengan impak mendalam terhadap negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Tunku Alizakri berkata, memandangk­an 2020 dan tahun akan datang menjanjika­n cabaran, beliau yakin pasukan pengurusan baharu itu, KWSP mampu mencapai matlamat dan sasaran ditetapkan.

Beliau berkata, KWSP akan terus memastikan ia kekal kukuh dalam melaksanak­an peranannya sebagai dana yang memberi tumpuan dalam menjadikan pelaburan ke arah mencapai pulangan jangka panjang kepada pencarum.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia