Berita Harian

Pelabur nilai semula konflik As-iran selepas pasaran pulih

-

Sydney: Saham Asia kembali melonjak semalam apabila pelabur menilai semula konflik menyeluruh antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, manakala Wall Street meningkat selepas saham teknologi melonjak.

Harga minyak kembali reda apabila beberapa pelabur membuat spekulasi Iran tidak akan menyerang AS sehingga menyebabka­n bekalan dan eksport minyak mentahnya terganggu.

“Peniaga minyak mula melepaskan pelindung nilai, dengan berasakan kesulitan ekonomi Iran akan menghalang seranganny­a ke atas infrastruk­tur yang boleh menyebabka­n pembekuan eksport sedia ada negara itu sekali gus merumitkan lagi ekonominya,” kata Ketua Ahli Strategi Pasaran Asia Axitrader, Stephen Innes.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 86 sen kepada AS$68.05 satu tong, selepas berada setinggi AS$70.74 kelmarin, manakala minyak mentah AS susut 77 sen kepada AS$62.50.

Emas juga susut kepada AS$1,558.67 satu auns, selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun pada AS$1,582.59 semalaman.

Pasaran saham pula bergerak sebaliknya apabila indeks saham MSCI Asia Pasifik, selain Jepun menokok 0.7 peratus, memulihkan hampir keseluruha­n kerugian pada Isnin.

Indeks Nikkei Jepun mencatatka­n rali 1.4 peratus, manakala Shanghai menokok 0.5 peratus.

Kelmarin, pasaran saham Asia jatuh mendadak selepas Iran dan AS berbalas ancaman apabila serangan udara AS pada 3 Januari lalu membunuh seorang komander tertinggi Iran. REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia