Berita Harian

Mengaku tak bersalah pukul isteri

Imam didakwa cekik, tumbuk, pijak mangsa sehingga cedera

- Oleh Fairuz Zaidan fairuzaida­n@bh.com.my

Ayer Keroh: Seorang imam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan menumbuk, mencekik dan memijak isterinya sehingga cedera, Mei tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Zaki Kamal, 30, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapny­a dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mendatangk­an cedera terhadap isterinya yang berusia 29 tahun dengan menumbuk muka sebelah kiri, mencekik leher dan memijak badan wanita itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukann­ya di dalam bilik tidur sebuah rumah di Taman

Paya Dalam, Melaka, kira-kira jam 7.45 malam, 9 Mei 2019.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman mencadangk­an jaminan sebanyak RM6,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanap­un merayu jumlah berkenaan dikurangka­n dengan alasan dia hanya seorang penjawat awam di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), manakala isterinya tidak bekerja selain perlu menanggung dua anak yang masih kecil.

Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohamad Izwan pada penghakima­nnya kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan syarat tambahan hanya isterinya sebagai penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

 ?? (Foto Rasul Azli Samad/bh) ?? Muhammad diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mendatangk­an cedera kepada isterinya di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, semalam.
(Foto Rasul Azli Samad/bh) Muhammad diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mendatangk­an cedera kepada isterinya di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia