Berita Harian

JAINJ, MAIN cadang borang nikah guna tulisan Jawi

-

Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bercadang memperkena­lkan semua borang termasuk urusan pernikahan dalam tulisan Jawi sepenuhnya.

Ia selepas kedua-dua agensi agama Islam negeri itu melaksanak­an penggunaan tulisan Jawi sepenuhnya dalam urusan rasmi dan surat-menyurat berkaitan agama, sejak 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankua­sa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembanguna­n Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata pelaksanaa­n tulisan Jawi sepenuhnya termasuk pada borang itu bukan sahaja bagi memperkasa­kan semula tulisan itu, malah bagi memastikan khazanah negara tidak luput.

Katanya, sejak 1 Januari lalu, semua urusan rasmi termasuk surat-menyurat, minit mesyuarat, memo dalaman mahupun majlis rasmi membabitka­n agama Islam menggunaka­n tulisan Jawi sepenuhnya termasuk pada risalah, poster, kain pemidang dan latar belakang.

“Kami bercadang memperkena­lkan borang pelbagai urusan JAINJ dan MAINJ pula dalam tulisan Jawi sepenuhnya selepas ini termasuk urusan nikah kahwin, bantuan zakat dan Baitulmal, selain sekolah agama.

“Alhamdulil­lah, inisiatif tulisan Jawi sepenuhnya dalam urusan rasmi JAINJ dan MAINJ bukan sahaja berjalan lancar, malah disambut baik semua pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Diharap penggunaan tulisan Jawi akan terus menyemarak­kan khazanah berharga penulisan berkenaan di negeri ini selain akan dicontohi pihak lain,” katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

September lalu, kerajaan Johor dilaporkan menyokong pelaksanaa­n penggunaan tulisan Jawi dalam urusan rasmi dan surat-menyurat berkaitan JAINJ bermula 1 Januari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, semua anak syarikat atau apa sahaja urusan berkaitan JAINJ selepas ini akan menggunaka­n tulisan Jawi dalam usaha memperkasa­kan tulisan berkenaan.

“Saya sangat menyokong semua yang di bawah JAINJ atau anak syarikat atau apa saja yang berkaitan JAINJ mesti menggunaka­n tulisan Jawi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia