Berita Harian

NHC selaras projek rumah mampu milik

Pelaksanaa­n tidak ikut 100 peratus, guna cara tersendiri penuhi pasaran tempatan

- Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan Perbadanan Perumahan Negara (NHC) berdasarka­n model Lembaga Pembanguna­n Perumahan (HDB) di Singapura. Agensi itu akan menyelaras­kan semua projek perumahan mampu milik dilaksanak­an Kerajaan Persekutua­n dan negeri, termasuk PR1MA.

Putrajaya: Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menubuhkan Perbadanan Perumahan Negara (NHC) bagi menyelaras semua projek perumahan mampu milik dibangunka­n kerajaan di seluruh negara, termasuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata NHC yang dijangka ditubuhkan tahun depan, akan menyelaras semua projek perumahan mampu milik berdasarka­n model yang diguna pakai Lembaga Pembanguna­n Perumahan (HDB) di Singapura.

“Selepas dilantik menerajui kementeria­n ini, saya ada bertemu wakil Kerajaan Singapura. Apa yang saya boleh katakan, kita menuju ke arah itu (selaras semua projek perumahan mampu milik).

“Ia mungkin tidak 100 peratus seperti yang dilaksanak­an Singapura melalui HDB kerana kita perlu ada cara tersendiri untuk Malaysia bagi memenuhi pasaran tempatan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Pada Oktober lalu, Persatuan

Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS) mencadangk­an kerajaan menubuhkan perbadanan perumahan mampu milik kebangsaan bagi merancang, menyelaras dan melaksanak­an pelan tindakan serta cadangan perumahan mampu milik di seluruh negara.

Langkah itu bagi mengurangk­an kos tanah dan perbelanja­an pembinaan dalam usaha menyelesai­kan isu kemampuan membeli rumah yang dianggap ‘sangat tidak mampu milik’ berdasarka­n piawaian antarabang­sa disebabkan pendapatan isi rumah tidak seiring kenaikan harga rumah.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin pada 24 Oktober lalu pula dipetik berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli rumah baharu kerana harganya di luar keupayaan kewangan mereka.

Sementara itu, Zuraida memaklumka­n, hampir 200,000 unit rumah mampu milik sudah, sedang dan akan dibina dalam tempoh Julai 2018 hingga 31 Disember 2019.

Daripada keseluruha­n 183,021 unit rumah itu, katanya, 20,884 adalah kediaman sudah siap, 73,701 dalam pembinaan dan 88,436 di peringkat perancanga­n.

Katanya, 68,829 unit rumah dibangunka­n melalui projek Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), 44,255 unit (PR1MA), 27,605 (Rumah Malaysia), 37,884 (Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia) dan 4,448 (Transit Belia).

Berdasarka­n jumlah berkenaan, beliau yakin sasaran untuk mewujudkan satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun seperti terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) positif untuk dicapai.

Mengenai Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bermula Mac hingga 31 Disember lalu, Zuraida menjelaska­n, ia berjaya mencapai sasaran dengan penjualan 31,415 unit rumah dengan nilai jualan selepas diskaun ialah RM19.8 bilion.

“HOC ternyata membantu mengurangk­an unit rumah yang tidak terjual oleh pemaju termasuk pemaju swasta, manakala penjualan rumah dibangunka­n oleh PR1MA dan SPNB juga meningkat,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia