Berita Harian

Badan kehakiman semak status siasatan PDRM

Ketua Pendaftar akan hantar surat secepat mungkin

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Badan kehakiman akan memeriksa secara terus dengan kepemimpin­an Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung status siasatan terhadap afidavit sokongan diikrarkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengenai salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutua­n pada Febuari lalu.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, berkata Ketua Pendaftar akan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, secepat mungkin bagi mengetahui status siasatan berkenaan.

“Selepas tuntutan mahkamah itu dilupuskan di Mahkamah Tinggi baru-baru ini, kita akan memeriksa dengan pihak polis mengenai status siasatan mereka.

“Sebelum ini, ketika saman berkenaan masih tertangguh, kami tidak pasti sama ada untuk meneruskan siasatan dalaman atau pun membuat pemeriksaa­n dengan pihak polis.

“Saman terbabit sudah dilupuskan, jadi kita rasa ini masa yang sesuai untuk mengetahui status penyiasata­n mereka,” katanya dalam sidang media selepas mempengeru­sikan pembukaan Tahun Undang-undang 2020 di Pusat Konvensyen Antarabang­sa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Pada 14 Februari 2019, Hamid Sultan memfailkan afidavit setebal 63 halaman, untuk menyokong saman pemula yang difailkan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo, terhadap bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Sangeet memfailkan saman pemula itu bagi memohon perisytiha­ran Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalanka­n tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertaha­nkan integriti dan kewibawaan badan kehakiman.

Sangeet mendakwa, isu itu timbul apabila peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mengeluark­an kenyataan keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal didakwa diubah akibat campur tangan seorang hakim kanan.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Maimun mengulas ucapan yang disampaika­n oleh Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor, yang mengulangi desakan penubuhan Suruhanjay­a Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan salah laku badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara itu berkata, dakwaan yang dibuat sedang disiasat dan sehingga pihak berkuasa memutuskan sama ada dakwaan itu memerlukan tindakan lanjut atau tidak, ia kekal tuduhan tidak terbukti.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Fareed itu mewujudkan persepsi bahawa apabila dakwaan itu dibuat, ia menunjukka­n bahawa badan kehakiman tidak mempunyai kebebasan.

Tengku Maimun menambah kenyataan itu menggambar­kan bahawa tanpa RCI, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman telah terhakis.

Beliau berkata, adalah penting bagi Majlis Peguam yang memainkan peranan penting dalam menegakkan kebebasan badan kehakiman, tidak dengan sengaja menghakis kepercayaa­n orang ramai dengan menganggap seluruh badan kehakiman tercalar sehingga RCI ditubuhkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia