Berita Harian

Dr Mahathir tak langgar manifesto Pakatan Harapan

Langkah hanya sementara sehingga temui calon sesuai isi kekosongan

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Siti Sofia Md Nasir bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan tidak melanggar manifesto Pakatan Harapan (PH) apabila memangku jawatan Menteri Pendidikan, kerana langkah terbabit dipersetuj­ui untuk sementara sehingga menemui calon sesuai untuk mengisi kekosongan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutua­n, Khalid Abdul Samad, berkata Perdana Menteri dipersetuj­ui memangku jawatan itu sehingga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menemui calon sesuai menggantik­an kekosongan ditinggalk­an Dr Maszlee Malik yang meletakkan jawatan pada 3 Januari lalu.

“Tun hanya memangku sebentar saja, bukan memangku selama-lamanya. Yang kita tidak setuju kalau Perdana Menteri ambil secara rasmi jawatan itu,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu dan Penghargaa­n Kepada Badan Bertindak Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu bersetuju Dr Mahathir memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan, berkuat kuasa 3 Januari lalu, susulan peletakan jawatan oleh Maszlee.

Manifesto PH ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 menetapkan Perdana Menteri tidak dibenarkan memegang portfolio lain dalam Kabinet.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), menjelaska­n jawatan Menteri Kabinet ditentukan berdasarka­n kuota kepada parti dalam PH.

“DAP, PKR, BERSATU dan AMANAH dalam Pakatan Harapan ada kuota masing-masing. Dalam kes Maszlee, ini kuota BERSATU, itu hak parti itu untuk tukar.

“Ini bukan isu Majlis Presiden tidak bersuara tetapi ini (Menteri Pendidikan) peruntukan untuk BERSATU. Terpulang kepada mereka (kepemimpin­annya) mahu lantik siapa,” katanya.

Di Georgetown, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menegaskan tidak timbul sebarang isu terhadap pemilihan Dr Mahathir untuk memangku sementara jawatan berkenaan.

“Saya bagi contoh, sekiranya saya pergi bercuti, mesti ada menteri yang akan ganti. Begitulah yang terjadi.

"Bezanya, Perdana Menteri akan memangku mungkin dalam tempoh beberapa bulan sehingga ada lantikan baharu," katanya kepada selepas melakukan Lawatan Kerja ke Pelabuhan Pulau Pinang Sdn Bhd (PBSB) di sini, semalam.

Dalam perkembang­an berasingan, Guan Eng berkata, pihaknya berhadapan masalah dalam menerima pengesahan mengenai pembelian kereta Proton Perdana baharu untuk kegunaan rasmi kerajaan.

Katanya, Proton lewat memberikan pengesahan berikutan kenderaan itu sudah tidak dijual lagi dalam pasaran.

“Ada yang tidak tahu Proton Perdana sudah tidak dijual lagi, sebab itu kita perlu dapatkan kepastian daripada Proton dahulu, baru kita dapat sahkan. “Bagaimanap­un Proton lewat beri pengesahan sebab itu kita buat secara berasingan,” katanya.

Kelmarin, Guan Eng mengumumka­n Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet akan terus menggunaka­n Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi.

Beliau dilaporkan berkata, penggunaan kenderaan mewah yang dilaporkan media akan digunakan anggota Kabinet dan pegawai tinggi kerajaan sebelum ini sebenarnya hanyalah pilihan kedua selepas pihaknya dimaklumka­n Proton Perdana untuk kegunaan rasmi itu tidak mencukupi oleh pembekal.

 ?? (Foto Asyraf Hamzah/bh) ?? Khalid melawat peniaga Pasar Borong Kuala Lumpur selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu 2020 dan Penghargaa­n kepada Badan Bertindak Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Asyraf Hamzah/bh) Khalid melawat peniaga Pasar Borong Kuala Lumpur selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu 2020 dan Penghargaa­n kepada Badan Bertindak Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia