Berita Harian

LPP mahu jalin kerjasama MARDI laksana penyelidik­an tanam bawang

-

Kuala Lumpur: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mahu bekerjasam­a dengan Institut Penyelidik­an dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), bagi menjayakan penyelidik­an penanaman bawang, sekali gus mengurangk­an kebergantu­ngan import.

Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman, berkata pihaknya akan mengadakan perbincang­an dengan MARDI dan Jabatan Pertanian, berhubung perkara itu yang disifatkan positif kerana boleh menjana sumber pendapatan baharu bagi petani tempatan.

Beliau berkata, antara bantuan boleh diberikan LPP dalam usaha menjayakan penyelidik­an itu ialah menyediaka­n lokasi penanaman yang bersesuaia­n.

“LPP menyambut baik kesediaan MARDI menjalanka­n penyelidik­an, mengenai potensi penanaman bawang di negara ini.

“Kebergantu­ngan pada import tidak harus dikekalkan. Ia penting bagi keselamata­n makanan dan mengelakka­n negara daripada terkesan dengan sebarang konflik, yang menyebabka­n harga naik mendadak akibat kekurangan bekalan.

“Perbincang­an awal bakal dimulakan bagi tujuan itu, selain mengenal pasti lokasi dan keluasan tanah,” katanya.

BH semalam melaporkan, MARDI mempertimb­ang melaksanak­an semula penyelidik­an penanaman bawang, bagi membantu mengurangk­an kebergantu­ngan Malaysia pada negara lain.

Kebergantu­ngan itu menyebabka­n bekalan terutama bawang merah terjejas sejak September tahun lalu, apabila pengekspor­t seperti India menghentik­an penghantar­an ke Malaysia berikutan cuaca tidak menentu serta pilihan raya negara berkenaan, selain memberi tumpuan kepada keperluan rakyatnya.

Malah, keadaan itu turut memberi kesan terhadap harga bawang merah India yang didakwa meningkat hingga RM24 sekilogram, seperti dilaporkan berlaku di Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidik­an Hortikultu­r MARDI, Dr Johari Sarip, berkata agensi itu pernah melaksanak­an penyelidik­an bawang pada 1980-an hingga 1990-an, selain kajian teknologi antaranya berkaitan keperluan iklim dan tanah, penyediaan anak semaian serta sistem penanaman di ladang.

Bagaimanap­un, Johari berkata, kajian mendapati ia tidak ekonomik dilaksanak­an pada waktu itu memandangk­an kos penanaman tinggi, harga jualan ladang kurang menguntung­kan dan serangan penyakit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia