Berita Harian

Hapus jenayah siber tuntut kerjasama semua pihak

-

Kuala Lumpur: Usaha pihak berkuasa membantera­s kegiatan sindiket penipuan atas talian diibaratka­n sebagai ‘peperangan yang tidak boleh dimenangi’ tanpa kerjasama semua pihak.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata jenayah berkenaan akan berterusan selagi masyarakat tidak peka dan bertindak bijak.

“Selagi masyarakat tidak peka, kita berdepan pertempura­n yang menjanjika­n kekalahan,” katanya sambil mengakui selepas lebih 30 tahun mengendali­kan biro berkenaan, kes penipuan atas talian adalah satu-satunya kes di mana beliau gagal membantu mangsa yang tampil membuat aduan.

Pada pandangann­ya, punca sebenar berlaku kes penipuan adalah disebabkan sifat naif dan kelalaian mangsa.

“Saya sudah terima aduan kes penipuan Macau Scam sejak tujuh tahun lalu, lebih 40 sidang media diadakan bagi memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya sindiket ini. Pendedahan demi pendedahan modus operandi sindiket dibuat, namun masih ada jadi mangsa.

“Kes ini berpunca daripada mangsa sendiri, ada yang mengaku tahu modus operandi sindiket, tetapi apabila digasak dengan ugutan daripada ‘scammer’, mereka panik dan masuk perangkap.

“Pelbagai jenis aduan saya terima di biro ini, banyak masalah pengadu saya selesaikan, namun untuk kes berkaitan Macau Scam, saya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya menambah, golongan berusia sering jadi sasaran.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim mengakui, lambakan ‘keldai akaun’ yang digunakan dalam transaksi jenayah penipuan dalam talian membimbang­kan.

“Keldai akaun dilihat elemen penting dalam jenayah ini, dimanipula­si bagi tujuan jenayah. Ada tiga elemen dalam jenayah ini, iaitu mangsa, akaun dan ‘scammer'. Akaun adalah medium untuk menjayakan penipuan, jika medium ini tiada, penipuan tidak akan lengkap,” katanya.

Beliau juga mengklasif­ikasikan mangsa penipuan sindiket atas talian sebagai sangat naif dan tidak peka, berada di luar lingkungan capaian maklumat, kurang pembacaan dan pengetahua­n serta langsung tidak tahu mengenai jenayah berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia