Berita Harian

Hapus status ‘halimunan’ anak tak bernegara dalam pendidikan

-

Agenda ‘Pendidikan Untuk Semua’ benar-benar membungaka­n harapan buat semua kanak-kanak. Terlebih khusus kelompok dilabel anak tidak bernegara.

Dalam dokumentar­i bertajuk Tagupi Membaca: Harapan Anak-anak Tidak Bernegara, Peldalin Md Nasip, berkongsi impian emasnya sejak kecil untuk belajar di sekolah arus perdana.

Keinginann­ya bertambah besar apabila melihat ahli keluarga lain segak berpakaian seragam sekolah. Namun, penjelasan ibunya bahawa dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri, membuatkan niat luhur itu dipendam sahaja.

Harapan Peldalin yang terpaksa dilupakan itu, hakikatnya mewakili 290,437 kanak-kanak tanpa kewarganeg­araan di negara ini.

Suruhanjay­a Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan saban tahun, lebih 70,000 kanak-kanak di dunia lahir sebagai orang tidak bernegara.

Status tidak bernegara atau tiada kewarganeg­araan ini disebabkan pelbagai faktor. Antaranya konflik undang-undang kerakyatan, peperangan, pemerdagan­gan manusia dan status ibu bapa kanak-kanak yang juga bukan warganegar­a.

Kebanyakan negara di dunia mengamalka­n prinsip kewarganeg­araan jus sanguinis. Maksudnya kewarganeg­araan hanya diberikan kepada anak yang ibu atau bapa mereka diiktiraf warganegar­a.

Di Malaysia, empat faktor dinyatakan sebagai penyebab, iaitu kegagalan mendaftark­an perkahwina­n dan kelahiran, kanak-kanak tidak memiliki dokumen serta migran secara tidak sah, kanak-kanak terabai dan kanak-kanak pelarian tidak bernegara.

Dalam semua situasi ini, bukan sahaja hak kewarganeg­araan dinafikan, tetapi mereka terdedah pencabulan hak asasi lain seperti hak untuk hidup, akses kepada pendidikan, kebebasan untuk bergerak, hak kesihatan serta rawatan perubatan.

Tanpa jaminan hak asasi ini, mereka menghadapi kesulitan dan halangan sepanjang hidup. Ini tentunya menyebabka­n mereka menanggung perang psikologi yang berat.

Seperti dinyatakan dalam laporan UNHCR bertajuk I Am Here, I Belong (November 2015), kanak-kanak dan belia tidak bernegara yang ditemu bual antara lain menggambar­kan diri mereka sebagai ‘halimunan’ atau ‘hidup dalam bayang-bayang’ dan ‘tidak berguna’.

Pelbagai instrumen antarabang­sa menjamin hak pendidikan untuk kanak-kanak. Antara terpenting Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1989, yang mencatat jumlah ratifikasi paling meluas membabitka­n 196 negara termasuk Malaysia.

Artikel 28(1)(a) CRC mempertang­gungjawabk­an setiap negara anggota memastikan pendidikan awal diwajibkan dan diberikan secara percuma kepada semua kanak-kanak.

Meskipun Malaysia membuat reservasi terhadap Artikel 28(1)(a) CRC seperti dilaporkan portal Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), beberapa dasar cuba diperkenal­kan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, wajar diberi pujian. Antara berkaitan dengan kanak-kanak tanpa dokumen termasuk ‘Pendidikan Untuk Semua’ atau ‘Pendidikan Inklusif ’.

Melalui dasar atau agenda ini, sekiranya salah seorang daripada ibu atau bapa kanak-kanak tidak berdokumen itu berstatus warganegar­a, maka ia boleh didaftarka­n sebagai murid di sekolah arus perdana mulai 2019. Bukti yang perlu dikemukaka­n ialah surat pengesahan ketua kampung bahawa kanak-kanak itu anak mereka.

Dasar ini dilihat langkah permulaan bagi Malaysia mempertimb­ang untuk menarik balik reservasi Artikel 28(1)(a) CRC. Lantas Menteri Pendidikan yang baharu diharap meneruskan dasar baik ini.

Demi menangani isu keciciran dalam kalangan etnik minoriti dan terpinggir pula, Kementeria­n Pendidikan mewujudkan kerjasama strategik dengan pihak pengurusan pendidikan alternatif.

Contohnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Haluan Sabah yang mengasaska­n pusat pendidikan alternatif dikenali sebagai Pusat Pembanguna­n Minda Insan (PPMI). Sasaran pelajarnya etnik minoriti Bajau Laut dan kumpulan cicir bandar atau luar bandar yang tidak berpeluang ke sekolah arus perdana, disebabkan pelbagai rantaian masalah.

PPMI ditubuhkan pada 16 September 2011 di beberapa perkampung­an dalam daerah Kunak, Lahad Datu dan Semporna, dengan 11 pusat kini menjadi tempat transit terbaik bagi kanak-kanak tanpa mengira umur dan latar belakang.

Melaluinya tumpuan diberikan terhadap aktiviti pendidikan asas akademik membaca, menulis dan mengira (3M), fardu ain serta kemahiran tertentu seperti pengurusan diri, selain bersosial serta bernegara. Ia dilihat membantu kerajaan mencapai sifar keciciran.

Sejak 2011, lebih 1,000 kanak-kanak tanpa kewarganeg­araan dan komuniti tercicir yang berusia antara lima hingga 39 tahun dibimbing PPMI, dengan 98 peratus pelajar menguasai 3M, asas fardu ain, fardu kifayah dan menghafaz sehingga 30 juzuk al-quran.

Menariknya, fungsi PPMI disokong Pejabat Pendidikan Daerah. Hasilnya pada 2017, lebih 30 peratus murid di beberapa PPMI diserap masuk ke sekolah aliran perdana dan mereka menunjukka­n prestasi cemerlang.

Ringkasnya, kegigihan pengurusan pusat pendidikan alternatif seperti PPMI memerlukan sokongan hebat segenap anggota masyarakat kerana matlamatny­a hanyalah satu - tiada sesiapa pun sewajarnya dibiarkan ketinggala­n daripada memperoleh manfaat ilmu dan pendidikan.

Benarlah dinyatakan dalam mukadimah Deklarasi Hak Kanak-kanak 1959, manusia seluruhnya berhutang dengan kanak-kanak perkara terbaik yang berhak dimiliki mereka. Perkara terbaik itulah yang dinamakan amanah untuk ditunaikan sebaik-baiknya.

Dalam semua situasi ini, bukan sahaja hak kewarganeg­araan dinafikan, tetapi mereka terdedah pencabulan hak asasi lain seperti hak untuk hidup, akses kepada pendidikan, kebebasan untuk bergerak, hak kesihatan serta rawatan perubatan.

 ?? (Foto ihsan Facebook Pusat Pendidikan Bajau Laut Kunak) ?? Sebahagian kanak-kanak yang tidak berpeluang ke sekolah arus perdana mendapat pendidikan asas akademik di Pusat Pendidikan Bajau Laut Kunak.
(Foto ihsan Facebook Pusat Pendidikan Bajau Laut Kunak) Sebahagian kanak-kanak yang tidak berpeluang ke sekolah arus perdana mendapat pendidikan asas akademik di Pusat Pendidikan Bajau Laut Kunak.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia