Berita Harian

China lapor kematian pertama wabak misteri

Tiada kes baharu dikesan, Hong Kong ambil langkah berjaga-jaga

-

Shanghai: Seorang lelaki berusia 61 tahun menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat penyakit pernafasan dipercayai disebabkan kumpulan virus baharu.

Virus itu dikatakan mempunyai persamaan dengan kumpulan virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), yang mengorbank­an ratusan nyawa lebih sedekad lalu.

Setakat ini, 41 orang dengan gejala radang paru-paru dikesan akibat virus baharu itu di pusat bandar Wuhan, dengan seorang daripadany­a meninggal dunia Khamis lalu, menurut Suruhanjay­a Kesihatan Wuhan di laman sesawangny­a.

Tujuh daripada mereka dilaporkan dalam keadaan serius, dua tidak diteruskan rawatan manakala selebihnya dilaporkan stabil.

Kematian itu menjadi penggera penting berikutan ia dikhuatiri berpunca daripada SARS yang membunuh 349 orang di China dan 299 orang di Hong Kong antara 2002 dan 2003, sekali gus menyebabka­n epidemik teruk yang menjejaska­n ekonomi serta pelanconga­n.

Hasil siasatan saintis China minggu lalu, mereka mempercaya­i patogen itu adalah daripada jenis koronaviru­s yang tidak diketahui lagi, daripada kumpulan yang boleh menyebabka­n pelbagai jangkitan, sama ada penyakit biasa seperti selesema atau lebih teruk seperti SARS.

Saintis di Jabatan Kesihatan Hong Kong melaporkan, rangkaian genetik daripada virus menjangkit­i salah seorang pesakit, yang diterbitka­n secara dalam talian oleh seorang pakar China, menunjukka­n 80 peratus virus itu hampir kepada SARS yang terdapat dalam kelawar.

Bercakap pada sidang media di Hong Kong, mereka berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa ia disebabkan SARS, bagaimanap­un mengingatk­an bandar itu perlu terus berjaga-jaga.

Pihak berkuasa Hong Kong mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga termasuk membuat pembasmian kereta api dan pesawat serta pemeriksaa­n penumpang.

Suruhanjay­a Kesihatan Wuhan berkata, lelaki yang mati itu dilaporkan ada membeli barangan di gerai makanan laut di bandar itu, yang dikenal pasti pihak berkuasa sebagai punca penularan wabak dan ditutup operasinya pada 1 Januari lalu.

“Mangsa yang mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit hati kronik, meninggal dunia di hospital Khamis lalu disebabkan kegagalan pernafasan dan radang paru-paru yang teruk.

“Tiada kes baharu dikesan sejak 3 Januari lalu atau bukti bahawa virus itu disebabkan pemindahan daripada manusia ke manusia,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyork­an apa-apa langkah khusus kepada pelancong atau mengenakan sekatan perdaganga­n terhadap China,

sekali gus memberi keyakinan terhadap keupayaan pihak berkuasa negara itu membendung virus terbabit.

Cuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina meningkatk­an lagi kegusaran berikutan kesesakan orang ramai boleh menggerakk­an vektor untuk patogen semakin merebak.

Ratusan juta akan berkumpul bersama di stesen kereta api, bas dan lapangan terbang sempena musim perayaan pada akhir Januari tetapi setakat ini China belum mengumumka­n apa-apa sekatan perjalanan.

Pihak berkuasa Hong Kong berkata, 48 rakyatnya dimasukkan ke hospital selepas mengunjung­i Wuhan dengan gejala demam, bagaimanap­un ia belum disahkan disebabkan koronaviru­s baharu itu.

Susulan wabak itu, penduduk bandar dilihat memakai topeng pelindung muka di samping banyak farmasi dan kedai mula menjual topeng itu, sementara pegawai menggesa kementeria­n kesihatan dan kebajikan pulau itu memperketa­tkan kawalan kuarantin. AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia