Guardiola iktiraf Aguero ‘mesin gol’
Birmingham: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola melontarkan pujian kepada Sergio Aguero selepas penyerang itu semakin hampir memecah rekod jaringan.
Berdasarkan 174 gol dihasilkan setakat ini, penjaring terbanyak sepanjang zaman Manchester City itu hanya ketinggalan satu gol di belakang Thierry Henry sebagai penjaring asing terbanyak dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Guardiola jelas mengiktiraf potensi Aguero sebagai ‘mesin gol’ dan mengakui gembira untuk memiliki pemain sebegitu menjelang aksi bertemu Aston Villa, awal pagi esok.
“Aguero akan meledak lebih banyak gol berbanding legenda seperti Henry. Ini satu pencapaian yang menakjubkan.
“Dia menyesuaikan diri dengan sempurna sejak dari awal lagi. Dia pemain yang memiliki deria untuk menghasilkan gol serta boleh menjaringkan gol dari mana-mana sudut dan pelbagai posisi.
“Dia penyerang yang mengagumkan,” kata Guardiola.
City berkunjung ke Midlands dalam misi meraih tiga kemenangan berturut-turut namun Guardiola tahu tiga mata yang menjadi buruan sama sekali tidak akan mudah di Villa Park.
“Kita perlu menentang semua pasukan. Ada kalanya mereka berada di atas, kadangkadang di pertengahan dan ada kalanya di tangga tercorot. Villa pasukan yang bersejarah.
“Mereka terpaksa mengubah perancangan mereka pada perlawanan lalu susulan kecederaan teruk penyerang mereka. Kami akan cuba mengekalkan momentum yang kami ada,” katanya. AGENSI