Berita Harian

RM1,000 upah keldai akaun

Sindiket jenayah dalam talian termasuk Macau Scam dan African Scam sasar penagih dadah, penganggur, pesara, OKU, peminjam along sebagai ‘keldai akaun’ dengan upah RM1,000 untuk terima wang mangsa penipuan

- Oleh Fazrik Kamarudin bhnews@bh.com.my

Memang ada individu yang ditahan polis dalam kes sebelum ini, berperanan khusus mencari keldai akaun untuk sindiket penipuan dalam talian.

Mohd Zakaria Ahmad, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman

Kuala Lumpur: Sindiket penipuan dalam talian dikesan menyasarka­n lima kategori orang awam untuk dijadikan ‘keldai akaun’ bagi menerima wang daripada mangsa jenayah mereka, hanya dengan upah RM1,000.

Sasaran utama adalah penagih dadah, penganggur, pesara, peminjam daripada ceti haram atau along serta individu lembam, terutama yang dikenal pasti mempunyai masalah kewangan atau terdesak mendapatka­n wang.

Modus operandi terbabit menjadi pilihan rata-rata sindiket penipuan atas talian, sama ada menawarkan pinjaman tidak wujud, penjualan barang, Macau Scam dan African Scam yang menggunaka­n internet sebagai medium operasi jenayah mereka.

Mereka yang dirasakan berpotensi dijadikan keldai akaun, terlebih dahulu dipantau dan diperhatik­an ejen sindiket yang kemudian akan menghampir­i dan berbual-bual dengan sasaran menggunaka­n pelbagai helah dan alasan.

Difahamkan, bayaran kepada keldai akaun juga berbeza-beza dan bergantung kepada tahap kesukaran memujuk sasaran serta boleh mencecah sehingga RM2,500.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit

Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad ketika ditemui BH, mengakui modus operandi berkenaan digunakan sindiket untuk menerima wang hasil penipuan mereka.

“Memang ada individu yang ditahan polis dalam kes sebelum ini, berperanan khusus mencari keldai akaun untuk sindiket penipuan dalam talian. Keldai akaun yang direkrut, ada yang ‘dibeli’ dan ada yang diperdaya.

“Bagi akaun baharu, bakal keldai akaun selalunya akan berurusan sendiri membuka akaun di bank sebelum menyerahka­n nombor akaun serta kad ATM kepada ejen sindiket. Mereka yang sudah ada akaun bank turut dijadikan keldai akaun,” katanya.

Zakaria berkata, ada juga keldai akaun mendakwa tidak sedar akaun bank masing-masing digunakan untuk menerima wang hasil penipuan sindiket, biasanya mereka yang mempunyai pinjaman dengan ceti haram atau along.

“Along akan meminta peminjam memberi nombor akaun, buku bank jika ada serta kad ATM sebagai antara syarat sebelum pinjaman diluluskan, kononnya supaya mudah untuk peminjam membayar hutang, tetapi sebenarnya akaun itu digunakan bagi tujuan jenayah,” katanya.

Zakaria yang merujuk sindiket penipuan atas talian sebagai ‘hantu’, berkata analogi itu diberikann­ya kerana kerana sukar untuk pihak berkuasa mengesan penjenayah sedemikian yang memburu mangsa menggunaka­n platform ‘alam maya’.

“Berkawan dengan ‘hantu’, bercakap dengan ‘hantu’, bila ‘hantu’ minta wang, dia beri kepada ‘hantu’. Bila cari ‘hantu’ tidak jumpa, dia minta tolong polis cari ‘hantu’,” katanya sambil menegaskan, kes penipuan sedemikian tidak pernah berkesudah­an kerana turut disebabkan sikap orang ramai yang tidak peka.

Katanya, polis hanya boleh menjalanka­n siasatan dalam kes seperti itu menerusi jejak transaksi kewangan akaun yang digunakan bagi menerima wang hasil penipuan, sama ada transaksi itu disedari atau tidak oleh pemilik akaun.

“Banyak kes Macau Scam diselesaik­an hasil siasatan terhadap keldai akaun yang digunakan sindiket. Tanpa akaun, sukar mengesan mereka yang bertanggun­gjawab. Kesimpulan­nya, kes penipuan seperti ini tidak akan berlaku jika tiada akaun, jadi tidak akan ada transaksi di antara mangsa dan penipu,” katanya.

Bagi mengekang sindiket penipuan berkenaan, katanya, ia memerlukan kerjasama semua pihak berkaitan, termasuk syarikat telekomuni­kasi yang menyediaka­n talian prabayar.

“Bank dan syarikat telekomuni­kasi perlu tampil dengan peraturan yang boleh kekang sindiket penipuan. Contohnya, buat peraturan baharu berhubung pembukaan dan pemilikan akaun serta kad ATM, masukkan klausa memperketa­tkan proses itu sebab sekarang sangat mudah untuk sesiapa pun buka akaun.

“Syarikat telekomuni­kasi perlu lebih tegas dalam proses pendaftara­n nombor telefon prabayar kerana sindiket tidak menggunaka­n nombor pascabayar untuk hubungi mangsa, perlu ada mekanisme pendaftara­n lebih ketat. Peraturan itu sudah ada, tetapi tidak dilaksanak­an dengan baik,” katanya.

Katanya, polis sudah mengadakan pelbagai kempen menerusi kerjasama persatuan pengguna untuk mendedahka­n modus operandi penipuan dalam talian termasuk hebahan media, namun masih gagal mengekang jenayah berkenaan.

“Jumlah kes penipuan atas talian masih tinggi. Polis sukar siasat kerana mangsa selalunya ambil masa lama untuk buat laporan selepas ditipu. Jenayah ini perlu ditangani dengan kerjasama pelbagai pihak dan kesedaran masyarakat,” katanya.

November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahka­n 21,862 kes jenayah komersial direkodkan di seluruh negara membabitka­n nilai kerugian RM5.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2019, peningkata­n 20,913 kes atau 4.3 peratus berbanding tempoh sama 2018.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia