Berita Harian

Seorang lagi ditahan, Syed Saddiq gesa UMNO saman

-

Johor Bahru: Polis menahan seorang lagi suspek berhubung insiden kekecohan ketika perjumpaan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Ulu Tiram, Bandar Seri Alam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata tangkapan itu membabitka­n suspek lelaki berusia 30-an pada lewat petang kelmarin, sekali gus jumlah ditahan tiga orang bagi membantu siasatan kes.

“Polis masih menjalanka­n siasatan dan mengenal pasti latar belakang mereka, termasuk daripada parti politik mana. Polis juga mendapatka­n perintah reman bagi ketiga-tiga individu itu hari ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, semalam.

Mohd Kamarudin berkata, orang ramai diminta menghormat­i undang-undang.

“Kenyataan Ketua Polis Negara jelas supaya semua orang hormati undang-undang tidak ada siapapun perlu keluar daripada batas undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Mohd Kamarudin berkata, dalam kejadian jam 9 malam hingga 11.30 malam, satu program rapat umum ARMADA Johor dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, diadakan di sebuah tapak perkhemaha­n hutan di Ulu Tiram, dekat sini.

Katanya, polis menerima laporan menyatakan ketika program itu berlangsun­g, sekumpulan pemuda berpakaian kemeja-t berwarna hitam antara 100 hingga 150 orang memasuki kawasan terbabit.

“Kumpulan pemuda itu melakukan provokasi dan kekecohan di tempat kejadian, tetapi polis berjaya mengawal secara profesiona­l tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Siasatan awal mendapati kumpulan pemuda itu sengaja menimbulka­n kekecohan dengan melaungkan kata-kata membangkit­kan kemarahan, berunsurka­n ugutan dan berkelakua­n agresif di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, kenyataann­ya mengaitkan UMNO dalam insiden itu adalah berdasarka­n siasatan polis.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan saman dan laporan polis dibuat UMNO terhadapny­a kerana budaya gangster yang dilakukan kumpulan itu tidak boleh diterima di negara ini.

“Saya maklum mereka (UMNO) membuat laporan polis dan mahu menyaman saya. Saya amat mengalu-alukan tindakan mereka. Seperti yang saya maklumkan tadi, kenyataan saya berpanduka­n taklimat dan siasatan polis.

“Saya mahukan keadilan sebagai isyarat jelas bahawa budaya samseng tidak dialu-alukan dalam negara demokrasi seperti Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi pertemuan dan makan tengah hari bersama peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas mengenai tindakan UMNO memfailkan saman dan membuat laporan polis ke atasnya kerana mendakwa kekecohan itu dilakukan penyokong parti pembangkan­g itu.

Mengenai tindakanny­a menyelamat­kan diri dengan memanjat pagar, Syed Saddiq berkata, beliau terpaksa berbuat demikian bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd bersama Mohd Kamarudin (tengah) dan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinai­n Jais (kiri) pada majlis perasmian IPD Johor Bahru Selatan, di Johor Bahru, semalam.
(Foto BERNAMA) Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd bersama Mohd Kamarudin (tengah) dan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinai­n Jais (kiri) pada majlis perasmian IPD Johor Bahru Selatan, di Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia