Berita Harian

Seorang lagi warga China pulih

Wanita rakyat tempatan disahkan positif jadikan jumlah kes lima orang

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Seorang lelaki warga China berusia 63 tahun yang sebelum ini disahkan positif novel coronaviru­s 2019 (2019-ncov) disahkan pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang petang semalam.

Ia adalah kes ketiga mangsa coronaviru­s disahkan pulih selepas dua kes yang menerima pengesahan sama sebelum ini, masing-masing menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi dan Hospital Permai di Johor Bahru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lelaki berkenaan sebelum ini dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Beliau diberi rawatan bagi gejala dengan pengawasan berterusan dan tiada keperluan untuk rawatan ubat antiviral.

"Terkini, dua ujian ulangan bagi 2019-ncov yang dijalankan berturut-turut terhadapny­a pada 7 dan 8 Februari lalu dilaporkan negatif.

“Pesakit dibenarkan pulang petang ini (semalam),” katanya yang berkongsi hal berkenaan menerusi laman sosial Facebook miliknya, semalam.

Dr Noor Hisham turut menyatakan penghargaa­n kepada keseluruha­n pasukan di HKL kerana memberi rawatan terbaik kepada pesakit berkenaan.

“Penghargaa­n juga kepada Pejabat Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur serta Putrajaya yang terbabit dalam siasatan, pengesanan kontak dan langkah pencegahan serta kawalan bagi mencegah penularan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, empat sekeluarga yang masih dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buluh (HSB) iaitu ahli keluarga kes positif 2019-ncov pertama yang dilaporkan di Singapura, kini berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Katanya, dua daripada mereka memperoleh keputusan negatif bagi ujian pengesahan 2019-ncov ulangan yang dijalankan, dua kali berturut-turut.

“Namun, ujian bagi dua lagi ahli keluarga mereka perlu dijalankan semula.

“Sebaik ujian pengesahan 2019-ncov ulangan bagi mereka dikesan negatif dua kali berturut-turut, hospital bersedia membenarka­n mereka pulang dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, satu lagi kes positif 2019-ncov dilaporkan di negara ini, membabitka­n wanita rakyat tempatan berusia 65 tahun.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan berasingan berkata, wanita berkenaan adalah ibu mentua individu pertama kes jangkitan membabitka­n rakyat Malaysia.

“Wanita ini menghidap beberapa penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, pengguna perentak jantung serta pergerakan terhad.

“Beliau mempunyai kontak langsung dengan kes indeks ketika duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama ahli keluarga lain pada 26, 27 dan 28 Januari.

“Sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari, beliau memaklumka­n hanya berada di rumah. Pada 5 Februari, wanita itu mengadu kurang sihat iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, wanita berkenaan dibawa untuk mendapatka­n rawatan sebagai pesakit luar sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan pulang ke rumah dengan temu janji susulan pada 7 Februari.

Sebaik menantu wanita itu dikesan positif 2019-ncov, warga emas itu terus dijejaki oleh pihak

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China. Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel diambil daripada beliau dan ahli keluarga lain.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-ncov yang dijalankan terhadapny­a dilaporkan positif pada 8 Februari, manakala bagi lain-lain ahli keluargany­a adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, wanita berkenaan dimasukkan ke wad isolasi di HSB dan berada dalam keadaan stabil.

“Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumka­n dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bilangan terkini kes positif membabitka­n rakyat Malaysia ialah lima orang.

“Dua adalah rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, satu kes lelaki ke Singapura (kes kesembilan) dan dua lagi kes adalah kontak rapat dengan kes kesembilan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia