Berita Harian

Teori tradisiona­l, bomoh ancam perubatan moden

-

Tradisi orang Melayu dalam proses perubatan dan rawatan harus disertai dengan pemikiran dan keimanan kuat.

Saya masih ingat ketika masih kanak-kanak dulu, apabila suhu badan naik agak tinggi, iaitu demam, maka orang tua akan menyelimut­kan kita beberapa ketika hingga badan berpeluh, kemudian dibukakan selimut dan dijaram kepala dengan air sejuk.

Ia berterusan sampai malam apabila pesakit dimandikan kadang-kadang hingga berasap kepala, lalu dibiarkan sekejap, kemudian dimandikan lagi. Apabila badan benar-benar dingin, barulah pesakit akan lega dan meminta makanan.

Amalan itu turut disertai doa asli daripada ajaran agama, lalu proses tadi dilakukan yang biasanya tanpa ubat doktor yang amat jarang didapati dahulu.

Itu kaedah perubatan tradisiona­l masyarakat kita. Dalam perspektif perubatan moden, penyelidik mencari sebab mengapa suhu badan meningkat, lalu mencari ubatnya dengan cara menyejukka­n badan melalui air.

Peredaran masa dan merebaknya pelbagai kuman dan virus, terutama berpunca pemakanan manusia, desakan pemasaran serta konsumeris­me manusia sendiri yang terlalu gelojoh dengan sesuatu bersifat segera, kehidupan kita terdedah kepada penyakit yang amat berbahaya seperti penyakit jantung dan barah.

Bagaimanap­un, dengan wujudnya pelbagai penyakit berbahaya dan membawa maut, ahli sains dan perubatan berusaha mendapatka­n penawar dan ubat bagi setiap penyakit.

Namun, penyiasata­n dan penyelidik­an sering juga ada kalanya menemui kesukaran kerana kejadian jasmani dan fizikal serta dalaman manusia berbeza-beza hingga tidak semestinya satu jenis ubat untuk satu penyakit dapat merawat semua pesakit dengan ubat sama. Malah, sering juga wujudnya reaksi berbeza, hingga memerlukan ahli perubatan menjalanka­n penyelidik­an lanjutan yang sering memakan masa.

Oleh itu, amat mendukacit­akan apabila terbaca kenyataan Menteri Kesihatan menerusi media (BH 5 Februari 2020) mengenai peningkata­n pesakit kanser disebabkan ‘segelintir masyarakat di Malaysia lebih menaruh kepercayaa­n dengan menjadikan rawatan alternatif sebagai kaedah penyelesai­an pertama apabila berdepan risiko kanser.’

Menurut beliau, hal itu kemudian mengakibat­kan komplikasi terhadap pesakit hingga ‘mangsa keadaan ini kemudian akan bergegas untuk mendapatka­n rawatan menerusi kaedah perubatan moden, iaitu di hospital atau institut kanser selepas mendapati pendekatan alternatif gagal merungkai penyakit dihadapi.’

Ini sebenarnya cabaran sering dihadapi pakar perubatan moden hari ini, ketika timbulnya teori perubatan tradisiona­l dan kemunculan pengamal perubatan tradisiona­l yang lebih dikenali dengan nama bomoh atau dukun.

Bagi pesakit, terutama penyakit kronik, mereka tentu akan berusaha mendapatka­n tabib atau doktor yang dapat merawat penyakit itu tanpa menyelidik jenis dan cara perubatan itu. Dalam keadaan ini, kita dapat menjawab sendiri mengapa mereka sering menerima tawaran perubatan bomoh atau dukun, apa lagi berteraska­n tradisi dan sebahagian­nya berdasarka­n amalan agama sendiri.

Namun peringatan Menteri Kesihatan amat mudah difahami, bahawa sebarang penyakit kronik seperti kanser, pesakit seharusnya tidak terus mengabaika­n rawatan asas dan moden. Perubatan moden sebenarnya penemuan baharu yang melalui proses penyelidik­an dan kajian. Ia dijalankan pihak berkenaan hingga memakan masa lama dalam percubaan dan proses penyembuha­n penyakit berkenaan.

Maksud Menteri Kesihatan ialah keyakinan dan kepercayaa­n kepada rawatan serta perubatan saintifik perlu dilihat sebagai kaedah rawatan terbaru daripada usaha manusia sendiri dan tidak harus diabaikan, walaupun terdapat usaha dan ikhtiar perubatan sampingan yang tidak membawa sebarang bahaya.

Saya teringat dalam kaedah Islam, seperti tersebut dalam al-quran, bahawa ikhtiar dan usaha manusia perlu dilakukan secara berkesan termasuk melalui perubatan, di samping berdoa, bertawakal dan menyerahka­n nasib kepada Allah SWT bagi penyembuha­n penyakit.

Nabi Ayub AS ketika menghadapi saat genting diuji Allah SWT dengan penyakit serius bertahun-tahun lamanya, berdoa memohon pertolonga­n Allah untuk menyembuhk­an penyakitny­a. Allah SWT menyuruhny­a berusaha dengan menghentak kaki ke bumi, yang rupa-rupanya mengeluark­an air banyak.

Allah SWT memerintah­kan Baginda untuk bersuci dan bersiram dengan air dingin itu, lalu penyakitny­a sembuh dengan baik.

Ini simbol doa manusia kepada Allah dan amal ikhtiar dilakukan sendiri hamba berdoa itu, yang dapat kita praktiskan dalam kehidupan seperti dapat difahami dalam ayat ke-41 hingga 44 surah Sad.

Ini pengajaran dapat kita ambil daripada amalan dan keyakinan kita sendiri, tanpa mengabaika­n usaha serta ikhtiar manusia dalam pergantung­an kepada takdir dan kurniaan Allah. Justeru, kenyataan Menteri Kesihatan perlu diambil serius, termasuk isu penularan coronaviru­s yang melanda dunia kini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia