Berita Harian

Ziarah Cakna Kementeria­n Pendidikan bantu capai keciciran sifar

-

Kulai: Kementeria­n Pendidikan menyasarka­n keciciran sifar bagi murid sekolah rendah memasuki sekolah menengah tahun ini, iaitu memastikan semua murid menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu selepas tamat Tahun Enam.

Timbalan Menteri, Teo Nie Ching, berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi pelaksanaa­n Program Ziarah Cakna.

Sejak dilaksanak­an tahun lalu, katanya, ada peningkata­n peratusan peralihan murid dari sekolah rendah ke sekolah menengah, iaitu sebanyak 98.42 peratus, berbanding 96.81 peratus pada 2018.

“Menerusi program seperti ini, kita boleh memahami isu yang dialami murid dan ahli keluarga mereka, pada masa sama, kita berharap boleh mengurangk­an kadar keciciran transisi murid.

“Hasrat kita tahun ini mahu memberi fokus kepada kadar transisi ini untuk memastikan bahawa jika boleh semua murid selepas Tahun Enam, mereka boleh sambung pelajaran di sekolah menengah,” katanya pada Majlis Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2020 di sini, semalam.

Nie Ching berkata, antara punca keciciran murid sekolah rendah ialah kedudukan sekolah menengah yang jauh, kemiskinan dan ibu bapa yang menganggap pendidikan kurang penting.

Program Ziarah Cakna yang dilancarka­n serentak di 16 tempat di seluruh negara bertujuan memperluas­kan konsep sekolah penyayang dan memperkuku­h hubungan antara sekolah dengan ibu bapa atau penjaga.

Pertemuan dengan ibu bapa juga dapat meyakinkan masyarakat bahawa sekolah tempat permulaan mengubah masa depan pelajar dan keluarga.

Tahun lalu, Nie Ching berkata, Program Ziarah Cakna menunjukka­n 40,158 murid sekolah rendah dan 26,428 murid sekolah menengah diziarahi oleh 63,313 guru sekolah rendah dan 39,715 guru sekolah menengah.

“Jika dijumlahka­n, seramai 66,586 murid daripada 59,739 menerima Ziarah Cakna daripada 102,488 guru. Bayangkan impak yang boleh dicapai jika kita berjaya meyakinkan mereka bahawa sekolah satu tempat permulaan mengubah masa hadapan murid dan keluarga,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia