Berita Harian

Pahang peruntuk RM12 juta bina takungan air luar sungai

-

Maran: Kerajaan negeri memperuntu­kkan RM12 juta bagi membina sistem takungan air menggunaka­n `Off River Storage’ (ORS) iaitu kaedah projek takungan air di luar sungai tahun ini bagi mengatasi masalah bekalan air terawat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sistem takungan ORS itu akan mula dibina di daerah Lipis sebagai projek perintis di negeri ini.

“Ini ialah projek perintis. Kita akan tengok keberkesan­an projek ini. Jika kita ada peruntukan kewangan yang lebih dan projek ini berjaya, kita akan buat di tempat lain di seluruh Pahang.

“Projek ini dijangka memberi manfaat kepada penduduk di enam kampung di Lipis iaitu Jelai, Kuala Medang, Agropolita­n Tanjung Gahai, Kuala Koyan, Kampung Bertam dan sebuah projek perumahan makmur yang akan dibangunka­n,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Surat Tawaran Rumah Makmur dan PR1MA Pahang di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddi­n Ishak; Pengerusi Jawatankua­sa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza

Shamsuddin.

Wan Rosdy berkata, projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat berikutan kerajaan negeri sudah mempunyai peruntukan dan kini dalam proses reka bentuk bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

“Mengikut kaedah ini, air sungai yang mengalir, kita akan pastikan satu tempat yang ada takungan air atau pun kita buat takungan air. Kemudian kita alirkan air ke takungan ini dan kita simpan di situ.

“Apabila air yang ada keladak jatuh, kita akan salurkan air mentah ini dan kita dapat menjaga air yang tumpah di negeri ini yang mana 80 peratus daripadany­a telah mengalir ke laut,” katanya.

Beliau berkata, masalah gangguan bekalan air di negeri ini bukanlah disebabkan oleh ketiadaan air tetapi akibat tiada kemudahan yang sepatutnya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri bercadang menakung 80 peratus air mentah di negeri ini yang mengalir ke Laut China Selatan tanpa digunakan setiap hari.

Beliau berkata kajian mendapati air mentah khususnya dari Sungai Pahang, Sungai Kuantan dan Sungai Rompin menyumbang sekitar 12.661 juta meter padu air sehari yang akhirnya hanya mengalir begitu sahaja ke laut.

Terdahulu, Wan Rosdy menyampaik­an surat tawaran kepada 115 pembeli projek Rumah Makmur dan PR1MA Pahang Bandar Tun Razak yang dibangunka­n oleh Angsanapur­i Developmen­t.

Projek Rumah Makmur dan PR1MA Pahang Bandar Tun Razak yang dimulakan pada 2016 dan dijangka siap pada 2025, dibangunka­n di atas kawasan seluas 49 hektar meliputi rumah jenis berkembar setingkat sebanyak 242 unit dan rumah teres setingkat, 111 unit.

Jika kita ada peruntukan kewangan yang lebih dan projek ini berjaya, kita akan buat di tempat lain di seluruh Pahang.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia