Berita Harian

Suami, isteri buat duit ‘eksport’ baju bundle

-

Kota Bharu: Minat mendalam sepasang suami isteri dalam dunia ‘bundle’ tidak sia-sia apabila pelbagai koleksi baju terpakai yang dijual sejak dua tahun lalu berjaya menembusi pasaran antarabang­sa.

Ahmad Afiqq Asmadi, 27, dan isteri, Che Anis Farahin Che Omar, 25, mampu memperoleh puluhan ribu ringgit sebulan hasil baju terpakai itu mendapat perhatian pelanggan dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jepun dan Singapura.

Mereka yang mempunyai seorang cahaya mata berusia satu tahun itu memfokuska­n kepada pakaian terpakai berunsurka­n vintaj dan ‘rare’ yang biasa dicari peminat ‘bundle’ dari dalam dan luar negara.

Che Anis berkata, beliau dan suami mendapatka­n pelanggan daripada seluruh dunia dengan mempromosi­kan pakaian bundle yang dijual mereka melalui aplikasi Grailed dan Etsy iaitu jualan atas talian untuk pakaian terpakai.

“Biasanya pelanggan ‘mat saleh’ kami lebih suka kepada baju panas atau kemeja-t yang mana ia dijual bermula dengan harga RM50 sehingga RM150 sepasang bergantung kepada jenama dan keadaan baju terbabit.

“Setiap bulan pasti ada rezeki kami yang menerima tempahan baju terpakai pelbagai jenama seperti Dolce and Gabbana dan Yves

Saint Laurent (YSL). Malah ada masanya ia membabitka­n penghantar­an secara pukal mencecah 40 ke 50 helai untuk sekali penghantar­an ke luar negara.

“Selain itu, pelanggan negara luar biasanya lebih cerewet, jadi kami perlu memastikan baju dalam keadaan baik. Malah kami pernah melalui pengalaman buruk apabila terpaksa mengembali­kan wang kerana pelanggan yang tidak berpuas hati dengan barangan mereka,” katanya.

Che Anis yang juga pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Politeknik Kota Bharu berkata, mereka mempunyai cara tersendiri untuk meletak nilai harga bagi sehelai baju dan biasanya ia hanya diketahui dalam kalangan peminat bundle.

“Baju ini mempunyai nilai yang tinggi jika ia pernah dipakai artis terkemuka di dalam muzik video, pakaian yang terpapar majalah lama, baju di dalam filem antarabang­sa atau pernah dipakai artis terkemuka yang sudah meninggal dunia.

“Saya dan suami biasanya mencari stok baju terpakai di seluruh negara termasuk ke Thailand bagi memastikan kami mendapat pilihan baju ‘bundle’ yang menarik dan berkualiti bukan sahaja memenuhi cita rasa pelanggan tempatan malahan antarabang­sa.

“Kami turut membuka kedai sendiri sejak setahun lalu yang dikenali sebagai ‘Rumah Bundle’ yang mana pelanggan bukan sahaja penduduk tempatan, malah mereka yang berada di luar Kelantan pun sanggup datang.

“Di Rumah Bundle, kami lebih fokus kepada baju berunsurka­n vintaj yang lebih digemari masyarakat tempatan dan baju di kedai ini dijual serendah RM1 sehingga RM30 bergantung kepada jenis baju,” katanya ketika ditemui di kedai miliknya di Kampung Teluk Kintang, Jalan Sabak, di sini, semalam.

Che Anis yang sentiasa murah dengan senyuman berkata, mereka juga sentiasa aktif mempromosi­kan jualan di Instagram (Rumah.bundle) selain memiliki studio mini sendiri untuk memastikan setiap gambar yang dihasilkan nampak menarik dan elegan.

Beliau turut mengakui rasa bersyukur apabila perniagaan pakaian terpakai terbabit mendapat sambutan sekali gus membuktika­n dunia ‘bundle’ juga mampu memberi pendapatan lumayan.

 ?? (Foto Nik Abdullah Nik Omar /BH) ?? Ahmad Afiqq dan Che Anis Farahin menunjukka­n pakaian terpakai pelbagai jenama ketika ditemui di kedainya di Kampung Teluk Kintang, Jalan Sabak, Kota Bharu, semalam.
(Foto Nik Abdullah Nik Omar /BH) Ahmad Afiqq dan Che Anis Farahin menunjukka­n pakaian terpakai pelbagai jenama ketika ditemui di kedainya di Kampung Teluk Kintang, Jalan Sabak, Kota Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia