Berita Harian

Ahli al-quran, ibu bapa diberi anugerah kemuliaan

-

Kelebihan ahli al-quran, bukan semata-mata menjadi penghafaz al-quran hingga meraih gelaran al-hafiz, sebaliknya membaca, memahami dan seterusnya menterjema­hkannya dalam bentuk amalan.

Ini puncak tertinggi kepada makna al-hafiz, iaitu menjaga dan memelihara al-quran di dada, lisan serta perbuatan setiap masa.

Hal itu boleh difahami daripada hadis yang terkandung dalam al-ahadith al-muntakhaba­h susunan Sheikh Muhammad Yusuf Kandhalawi yang meriwayatk­an hadis daripada Imam Ahmad ibnu Hanbal.

Buraidah RA meriwayatk­an beliau berada di sisi Nabi SAW dan mendengar Baginda bersabda: “Pada hari kiamat ketika ahli al-quran keluar dari kubur, maka al-quran datang dalam keadaan yang pucat, lalu bertanya: “Apakah kamu mengenalik­u?” Orang itu akan berkata: “Aku tidak mengenalim­u.”

Dalam hadis panjang itu, Rasulullah SAW mengkhabar­kan al-quran terus mengulangi pertanyaan itu, tetapi jawapan sama diberikann­ya.

Akhirnya, al-quran itu berkata: “Akulah al-quran, temanmu yang menyebabka­n kamu dahaga pada waktu tengah hari yang panas dan menyebabka­n kamu juga berjaga pada waktu malam. Yakni kerana beramal dengan hukum al-quran, menyebabka­n kamu berpuasa pada waktu siang dan membaca al-quran pada waktu malam.

“Setiap peniaga pasti mengingink­an keuntungan daripada perniagaan­nya dan hari ini kamu ialah orang paling banyak mendapat keuntungan.

“Selepas itu, ahli al-quran akan diberikan kerajaan di tangan kanannya dan jaminan kekal (dalam syurga) di tangan kirinya.

“Di atas kepalanya, akan dipakaikan mahkota kemuliaan. Kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan dua pasang pakaian yang harganya tidak mampu dinilai oleh penduduk dunia seluruhnya,” katanya.

Nabi SAW menceritak­an kedua-dua ibu bapa ahli al-quran itu bertanya sebab mereka menerima anugerah berkenaan, lalu jawapan diberikan: “Disebabkan anak kamu memelihara al-quran.”

Ahli al-quran itu diseru: “Teruslah membaca al-quran dan naiklah tingkat serta kamar syurga.” Oleh itu, dia pun terus menaiki tingkat syurga selagi membaca al-quran sama ada secara tartil atau cepat.

 ?? (Foto hiasan) ?? Jaga dan memelihara al-quran di dada, lisan serta perbuatan setiap masa puncak tertinggi bagi al-hafiz.
(Foto hiasan) Jaga dan memelihara al-quran di dada, lisan serta perbuatan setiap masa puncak tertinggi bagi al-hafiz.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia