Berita Harian

Manfaat teknologi kesan belia sukar hadapi tekanan

- Amir Jalal dan Chia Chu Hang Penyelidik di EMIR Research

Majoriti mangsa bunuh diri datangnya daripada belia dan untuk setiap 10 daripada mereka, enam mengalami masalah kesihatan mental. Bagaimana jika salah seorang daripada mereka ahli keluarga anda?

Isu kesihatan mental bukannya penyakit mental seperti kemurungan atau bisikan idea untuk bunuh diri. Namun, jika tidak dijaga dengan berhati-hati, ia akan membarah.

Secara amnya, kesihatan mental berkait rapat kesejahter­aan mental, kestabilan emosi dan sejauh mana seseorang itu dapat menangani masalah tekanan, mengatasi masalah hidup dan mengekalka­n hubungan sosial secara sihat.

Kesihatan mental, dalam satu aspek yang lain, sama seperti kesihatan fizikal. Secara lumrahnya, apabila pemakanan seseorang itu dipenuhi kalori dan lemak serta mereka tidak bersenam untuk membakarny­a, kesihatan fizikal boleh mengalami gangguan. Contohnya tekanan darah tinggi disebabkan terlalu banyak gula (glucose) dalam badan.

Perkara sama berlaku dalam kesihatan mental, dengan kehidupan seseorang penuh tekanan dan mereka tidak mempunyai cara untuk melepaskan tekanan itu.

Menurut Kajian Kesihatan Nasional dan Morbiditi (NHMS), satu daripada 10 remaja mempunyai masalah menangani tekanan.

Namun, sesetengah orang dewasa memperkeci­lkan masalah remaja ini. Lebih buruk mereka mengatakan generasi muda masa kini terlalu lemah dan tidak boleh menerima sedikit tekanan.

Kenyataan ini tidak adil dan tidak masuk akal. Sistem pendidikan sekarang amat mencabar dan ia antara penyebab yang memberi tekanan kepada pelajar.

Pada era masyarakat terlalu mementingk­an keputusan peperiksaa­n, tekanan terhadap mereka tidak dapat dibayangka­n kerana tidak mahu mengecewak­an ibu bapa. Dalam menangani kesihatan mental belia ini, ibu bapa dan guru memainkan peranan penting kerana mereka orang yang paling rapat dengan generasi muda.

Hari ini, kebanyakan ibu bapa terpaksa keluar mencari nafkah dan tidak mempunyai masa mencukupi untuk berbual dengan anak mereka tentang isu yang dihadapi.

Namun, apabila anak meminta bantuan, mereka tidak patut diabaikan dan ibu bapa harus selalu menyokong mereka.

Bagi guru pula, kita memahami kesibukan tetapi alangkah baik kalau mereka boleh meluangkan lima minit untuk mendengar keluhan pelajar, memahami masalah dan membimbing mereka.

Dengan teknologi yang semakin maju, internet dan platform media sosial menjadi faktor utama dalam kehidupan kita dan ia boleh memberi kesan kepada kesihatan mental belia.

Satu contoh mengenai bahaya yang boleh membawa maut ditularkan oleh internet dan media sosial iaitu pada Mei 2019, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari Sarawak membunuh diri selepas 69 peratus daripada pengikut akaun Instagramn­ya menyokong keputusan remaja itu untuk menamatkan kehidupann­ya.

Teknologi boleh membantu mengelakka­n peristiwa malang ini berulang. Antara teknologi yang mengagumka­n adalah Kecerdasan Buatan (AI) kerana ia boleh digunakan untuk membuat sesuatu yang berbeza.

Facebook menggunaka­n teknologi ini untuk menganalis­is kandungan yang dipaparkan perkataan demi perkataan dan menyusunny­a ke dalam beberapa kategori, kemudian berupaya mencadangk­an kandungan serupa kepada penggunany­a.

Itulah sebabnya apabila kita klik sesuatu video untuk menontonny­a, video seterusnya selalunya akan mirip dengan video pertama yang kita tonton dari segi kandungan.

Persoalann­ya, kenapa tidak kita membuat perkara serupa dengan melatih AI membantu mengenal pasti siapa yang memerlukan bantuan?

Mungkin ini agak sukar dilaksanak­an memandangk­an sikap rakyat Malaysia terhadap kesihatan mental umpama katak di bawah tempurung.

Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah mendengar rintihan dan melibatkan diri dengan mereka. Jika anda sedang membaca rencana ini dan merancang membunuh diri, silalah dapatkan bantuan, tidak kira bantuan profesiona­l atau tidak.

Anda mungkin tidak tahu, jika anda hidup pada hari lain, sesuatu yang indah, yang tidak pernah anda gambarkan sebelum ini mungkin berlaku dan dapat mengubah hidup seterusnya membawa anda kepada masa depan yang lebih indah dan ceria.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia