Berita Harian

Zaleha Hamid semakin uzur

Kian kurus, minum susu melalui tiub sejak diserang angin ahmar

- Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed rajamawar@bh.com.my

Di hujung talian, terdengar getar suara sebak, seperti menahan kesedihan yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.

Suara tersekat-sekat mahu berbual, tetapi kata-katanya tidak dapat difahami dengan jelas.

“Alhamdulil­lah. Keadaan saya seperti inilah, tidak boleh bercakap sangat. Saya lumpuh.

“Saya reda, doakan saya kembali sihat,” kata penyanyi dangdut, Melayu Deli dan Hindustan, Zaleha Hamid, 65, dengan sebutan pelat sepatah demi sepatah.

Penyanyi lagu Dangdut Reggae dan Jikalau Abang Merindu itu kini hanya terlantar di rumah selepas diserang penyakit angin ahmar pada pertengaha­n Disember lalu.

Siapa sangka, kemunculan­nya dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada 22 Disember lalu adalah kali terakhir penyanyi yang pernah mendapat jolokan Ratu Dangdut itu berjalan, bertutur dan berseloroh.

Hari ini, tubuh genit Zaleha atau lebih mesra disapa Mama semakin kurus. Tiada lagi keceriaan dan gelak ketawa, wajahnya senget sebelah kanan hingga pertuturan menjadi pelat.

Kaki dan tangan kanan pula kejang dan tidak bergerak. Wanita kelahiran Sungai Pinang, Pulau Pinang yang lebih lima dekad bergelar penyanyi itu tidak mampu menjamah makanan, sebaliknya hanya diberikan susu melalui tiub.

Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55, berkata, keadaan isterinya semakin uzur apabila tidak boleh menjamah makanan sejak diserang penyakit angin ahmar kira-kira dua bulan lalu.

“Mama hanya diberikan minum susu melalui tiub. Buang air pun guna tiub.

“Saya pernah menyuapkan bubur, tetapi asyik tersedak. Air pula meleleh keluar semula apabila diberikan minum menggunaka­n straw.

“Tekaknya sudah tidak boleh menerima makanan,” katanya yang kini tinggal di Skudai, Johor Bahru.

Ungku Sulaiman berkata, dia sudah melihat perubahan isteri pada hari kemunculan­nya dalam program GV6.

“Mama merungut, kakinya lenguh apabila berjalan laju.

“Ketika sedang bersolek, saya lihat kepalanya asyik senget ke sebelah kanan, tetapi Alhamdulil­lah, tiada reaksi seperti nak sakit.

“Perubahan ketara apabila bergurau bersama pengacara, Nabil Ahmad. Gerak tubuh dan pertuturan seperti ada lain sikit,” katanya.

Katanya, dia dan Mama terus pulang ke Johor Bahru sejurus selesai program GV6.

“Mama tidur apabila sampai di rumah, tetapi bangun ke bilik air pada jam 5 pagi. Dia tergelinci­r dan kepalanya terhentak ke dinding. Walaupun ada kesan benjol di kening, tetapi Mama cakap okay,” katanya.

Ungku Sulaiman berkata, dia tidak sedap hati apabila menghubung­i isterinya dari tempat kerja, suaranya lain dan sebutannya pula tidak jelas.

“Saya ingat Mama mainmain. Saya terus pulang ke rumah dan membawanya ke klinik, tetapi doktor mengesahka­n Mama diserang angin ahmar. Doktor minta saya membawanya ke Hospital Sultanah Aminah.

“Ketika di hospital, Mama boleh angkat kaki dan tangan, cuma tak boleh bercakap dengan jelas. Dia dibenarkan pulang kerana tidak teruk,” katanya.

Malangnya, Ungku Sulaiman berkata, isterinya tumbang selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital.

“Saya membawanya ke hospital dan terus dimasukkan ke wad. Mama baru saja keluar hospital selepas sebulan menerima rawatan dan terapi,” katanya.

Ungku Sulaiman berkata, tiada lagi wakil persatuan yang menziarahi isterinya serang terkena serangan angin ahmar.

“Saya mengharapk­an persatuan dapat menghulurk­an sumbangan meringanka­n bebanan kami,” katanya.

 ??  ?? Zaleha ditemani anak bongsu, Ungku Nor Mohammad Danial ketika suami bekerja.
Zaleha ditemani anak bongsu, Ungku Nor Mohammad Danial ketika suami bekerja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia