Berita Harian

Empat sahabat maut nahas MPV, trak tunda

Pemandu kereta dipercayai hilang kawalan, masuk laluan bertentang­an

- Oleh Nurul Amanina Suhaini bhnews@bh.com.my

Mersing: Empat maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitka­n sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan trak tunda di Jalan Mersing-endau, di sini, semalam.

Dalam kejadian awal pagi itu, Tengku Zahid Tengku Endut, 52, yang juga pemandu MPV jenis Toyota Avanza bersama tiga rakannya, Mohammad Nurul Haq Mohamad, 22; Kamarudin Salim Mualaf, 51, dan Muhammad Shazriq Adam, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superinten­dan Cyril Edward Nuing, berkata nahas berlaku ketika MPV itu dalam perjalanan dari arah Endau menghala ke Mersing.

“Toyota Avanza itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan trak tunda terbabit.

“Akibat perlanggar­an berkenaan, pemandu MPV terbabit bersama semua tiga penumpangn­ya meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Mersing, untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Azhari Awi, ketika dihubungi pula berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung nahas itu kira-kira jam 4.20 pagi.

Susulan itu, beliau berkata, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), masing-masing sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta Perkhidmat­an Penyelamat­an dan Perawatan Kecemasan (EMRS), dan dua kenderaan utiliti daripada BBP Mersing serta BBP Endau dengan kekuatan 22 anggota, bergegas ke lokasi kejadian.

“Empat mangsa didapati tersepit di dalam MPV jenis Toyota Avanza yang kemudian dikeluarka­n anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dari Hospital Mersing,” katanya.

Beliau berkata, dua mangsa berusia 34 dan 42 tahun yang menaiki trak tunda bagaimanap­un dilaporkan hanya cedera ringan serta keluar sendiri dari kenderaan itu sebelum ketibaan anggota bomba.

“Kedua-dua mereka kemudian dijemput ahli keluarga masing-masing, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.25 pagi,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara kepada Mohammad Nurul Haq, Awi Mat, 72, berkata MPV dinaiki arwah bersama rakan dipercayai dalam perjalanan dari Terengganu selepas bercuti untuk pulang ke Pasir Gudang atas urusan kerja.

Beliau berkata, arwah yang juga anak bongsu daripada enam beradik merantau dari Terengganu ke Johor sejak beberapa tahun lalu bersama abang sulungnya berusia 30-an untuk mencari rezeki.

“Di Johor, hanya saya keluarga terdekatny­a kerana adik-beradik saya yang lain, termasuk ibu dan ayah arwah, menetap di sebuah kampung di Terengganu. Ibu serta ayah arwah bukan orang senang dan bekerja sebagai penoreh getah. Di Pasir Gudang, arwah tinggal bersama abangnya yang saya panggil Awang.

“Ketika arwah masih kecil, saya melihatnya membesar di depan mata. Arwah sangat pendiam dan datang daripada keluarga baik-baik yang setahu saya amat menjaga solat.

“Wajah arwah bersih walaupun badan ada kesan luka akibat kemalangan itu,” katanya yang menetap di Felda Tunggal, Kota Tinggi.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Anggota bomba cuba mengeluark­an mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Mersing-endau, Mersing, semalam.
(Foto BERNAMA) Anggota bomba cuba mengeluark­an mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Mersing-endau, Mersing, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia